KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merakamkan ucapan takziah kepada ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Semporna Datuk Abdul Hajan Gurimbang atas pemergian isteri dan keluarga pemandunya yang terkorban dalam kemalangan pada Selasa lepas.

“Takziah saya ucapkan kepada keluarga pemandu yang terkorban dan juga kepada Datuk Abdul Hajan Gurimbang yang kehilangan isteri tercinta, semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat. Al-Fatihah,” demikian catatan Najib di laman Twitternya hari ini.

Perdana Menteri dalam masa yang sama sedih apabila kematian itu dijadikan fitnah politik sesetengah politik di media sosial kononnya mangsa membawa sejumlah wang tunai untuk tujuan tidak baik.

“Astaghfirullahalazim. Ke mana hilangnya perikemanusiaan dan perasaan simpati, tergamak bertindak sebegini keji, guna tragedi yang mengorbankan nyawa sebagai bahan politik penuh kebencian, melampau! Ingatlah pesan Allah SWT, “Dan memfitnah itu lebih buruk daripada membunuh” kata Najib dalam media sosialnya.

Menurut laporan akhbar tempatan, Datin Rositah Ghani Abdul Shah, 53, meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent pada Khamis manakala pemandu Sulaiman Harianto, 28, meninggal dunia di tempat kejadian selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Kota Kinabalu-Sandakan dekat Bukit Taviu, Ranau.-MalaysiaGazette