Pengerusi MyCARE, Prof Madya Dr. Hafidzi Mohd Noor (kanan) bercakap pada Sidang Media Mengenai Pembunuhan Imam Palastin Dr. Fadi Al-Batsh di Pejabat MyCARE, Seri Kembangan, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 22 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Humanitarian Care Malaysia (MyCare) menggesa orang ramai terutama pengguna media sosial supaya berhenti daripada terus menularkan maklumat salah berhubung identiti mangsa pembunuhan kejam Dr. Fadi al Batsh.

Pengerusinya, Dr Hafidzi Mohd Noor berkata, dakwaan yang disebar dengan mengaitkan imam dan juga pensyarah warga Palestin itu sebagai seorang pakar dalam pembuatan roket dan dron merupakan satu tuduhan tidak benar.

Menurutnya, Allahyarham merupakan seorang yang pakar dalam bidang sumber tenaga iaitu kejuruteraan elektrik.

“Nampaknya perkara ini disebar luaskan kerana nilai sensasinya.

“Mereka ini sengaja menambah perisa mengatakan beliau (Dr Fadi) pakar dalam membuat roket dan dimuatnaik di media sosial.

“Adakah kita menyedari dengan membuat dakwaan tersebut kita bukan sahaja meletakkan warga Palestin di negara ini dalam bahaya bahkan semua yang berhubungan dengan mereka.

“Saya rasa kita perlu hati-hati sebelum kita buat kenyataan yang tidak benar dan boleh mengancam keselamatan mereka dan Malaysia,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hafidzi berkata, warga Palestin di sini termasuk Allahyarham Dr Fadi sebenarnya mahu membangunkan potensi negara mereka agar tidak terus dijajah oleh pihak asing satu masa nanti.

Disebabkan itu katanya, banyak kajian-kajian yang dilakukan oleh Allahyarham telah disalah ertikan oleh pihak-pihak tertentu termasuk Israel untuk memberi gambaran salah terhadap dirinya.

“Beliau ini pakar dalam teknologi masa depan dan bukan persenjataan.

“Tolonglah, kita mohon sangat supaya kita jangan meletakkan beliau bahkan, NGO-NGO yang berjuang untuk Palestin dalam risiko.

“Bukannya kita hendak menutup malah, kita juga tidak melindungi mana-mana individu yang disyaki terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang,” ujarnya.

Tambah beliau, sekiranya perkara seperti itu tidak dikawal dana yang disalurkan oleh Malaysia kepada Palestin berkemungkinan akan bermasalah sekiranya didapati ada perkara melibatkan keganasan.

Dalam kejadian awal pagi semalam, Allahyarham yang merupakan imam dan juga pensyarah yang sudah berkeluarga ditembak mati di luar kondominiumnya di Jalan Gombak, Setapak.

Mangsa yang berusia 35 tahun dipercayai ditembak oleh dua lelaki yang menunggang motosikal dan terdapat empat kesan tembakan dikesan pada badannya. – MalaysiaaGazette