Pembatalan rancangan pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Singapura oleh kerajaan Pakatan Harapan telah mencetuskan perdebatan hangat.
Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kemungkinan sistem kereta api laju terkemuka Jepun, Shinkansen, dilaksanakan di Malaysia dan Singapura, mencetuskan keterujaan dalam Persatuan Kereta Api Berkelajuan Tinggi Antarabangsa (IHRA), dengan pegawai kanannya menyambut baik pelaksanaan itu.

Naib Presiden IHRA, Torkel Patterson berkata, negara yang sebelum ini tidak mempunyai pengalaman kerja dalam projek kereta api berkerlajuan tinggi (HSR), telah membuktikan mereka mampu mencapai tahap kejayaan yang sama seperti Jepun dalam mengurus sistem itu walaupun wujud keraguan.

Beliau memetik Taiwan dan New Delhi sebagai contoh.

Pendekatan Sistem Menyeluruh Shinkansen kepada HSR mengintegrasikan teknologi dengan infrastruktur dengan lancar, dengan kelebihan utamanya pendekatan melatih pekerja untuk menyelenggara dan melaksananya sistem berkenaan.

Teknologi perkakasan dan perisian yang disepadukan dalam sistem menyeluruh itu menyumbang kepada populariti Shinkansen iaitu perkhidmatan yang selamat, pantas, boleh dipercayai, tepat pada masanya dan kerap,” katanya kepada Bernama dalam temu bual menerusi e-mel.

Beliau berkata, perkara paling menarik di Metro Delhi ialah walaupun banyak yang skeptis, kereta api bawah tanahnya yang bersih, berjalan tepat pada masanya, selamat, dipercayai dan kerap, menjadi idaman oleh setiap bandar besar di India.

“Faktor-faktor yang menjayakan Delhi Metro sama seperti kejayaan Rail High Speed Taiwan, yang juga akan menjadikan HSR Kuala Lumpur-Singapura berjaya,” kata Patterson ketika diminta mengulas mengenai tawaran Jepun untuk memenangi tender antarabangsa yang akan dikeluarkan tidak lama lagi bagi cadangan laluan kereta api laju dua bandar yang dicadangkan itu, yang menjadikannya projek infrastruktur terbesar di Asia Tenggara.

Patterson yang dilahirkan di Amerika, menyenaraikan tiga ciri yang membawa kepada kejayaan sistem Shinkansen apabila dieksport keluar dari Jepun – latihan, kepimpinan tempatan yang hebat dan sokongan dan galakan orang awam.

“Ramuan rahsia dalam kaedah latihan Jepun ialah mereka melayani setiap pekerja dengan penuh hormat dan menilai pendapat mereka semasa proses latihan yang padat dan berulang. Melalui proses ini, lelaki dan wanita biasa menjadi ‘lelaki dan wanita kereta api’ pada tahap tertinggi.”

Sudah bertahun-tahun, Taiwan mengurus dan mengendalikan 100 peratus sistem kereta api di negara itu dengan keselamatan, kebolehpercayaan, prestasi dan perkhidmatan tepat masa bertaraf dunia, dengan jumlah penumpang lebih tinggi berbanding kebanyakan laluan Shinkansen di Jepun, katanya ketika ditanya bagaimana sistem Shinkansen dapat meningkatkan cabaran berdasarkan jarak antara Jepun dan Malaysia-Singapura dengan petugas yang akan diambil tidak mempunyai pengalaman kerja HSR.

“Ramai yang tertanya-tanya mungkinkah Shinkansen boleh beroperasi ke negara-negara lain dan sama ada negara tersebut dapat mencapai kejayaan yang sama seperti di Jepun. Jawapannya memang boleh,” kata Patterson.

Mengenai kepimpinan tempatan, beliau berkata kepimpinan kukuh dalam sistem Malaysia-Singapura penting kerana, tanpa komitmen, visi dan pandangan positif, tidak$ akan tercapai, dan pada masa yang sama, semuanya boleh berlaku.

Menyentuh mengenai sokongan orang ramai, beliau berkata: “Orang ramai, sebaik mereka mempunyai peluang untuk merasai HSR, jatuh cinta dengannya dan mahukan. Sokongan ini akan meyakinkan ahli politik yang mungkin pada peringkat awalbimbang mengambil risiko ini. Dengan memiliki pengangkutan popular juga akan meningkatkan jumlah penumpang dan membantu pembangunan berasaskan transit (TOD)”.

Di Jepun, TOD menyumbang 20 hingga 40 peratus daripada keseluruhan perniagaan, didorong oleh hakikat bahawa syarikat-syarikat kereta api memiliki tanah segera di sekitar stesen dan boleh membangunkannya di atas, di bawah dan di sekitar stesen.

Di Malaysia, Patterson melihat cadangan stesen terminal di Bandar Malaysia di Kuala Lumpur, Bandar Nusajaya di Johor dan Jurong East di Singapura, akan berjaya sejak awal lagi, manakala stesen lain akan berkembang selari pertumbuhan penumpang.

“Hampir kesemua kepakaran untuk TOD sudah pun wujud di Malaysia. Kuncinya ialah kepimpinan dan pekerja utama mereka perlu melawat Jepun dan melihat piawaian pembinaan, kebersihan dan penyelenggaraan, dan menjadikan piawaian yang tinggi ini sebagai standard Malaysia,” katanya.

Patterson, bekas presiden Raytheon International Inc, sebelum ini juga pernah berkhidmat dalam pelbagai jawatan dalam kerajaan Amerika Syarikat di bawah tiga pentadbiran, termasuk Penolong Khas kepada Presiden bagi Asia, Timbalan Penolong Setiausaha Negara untuk Asia Selatan dan Pengarah Kanan Negara bagi Jepun di Pejabat Setiausaha Pertahanan. – Bernama