Mohamed Azmin Ali

ALOR SETAR – Susulan khabar angin keputusan langkah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden, Rafizi Ramli yang berkomplot mengugurkan nama calon pro Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, sekumpulan akar umbi parti itu kini merancang untuk memboikot pada pilihan raya umum (PRU) 9 Mei depan.

Sumber dalaman PKR memberitahu MalaysiaGazette bahawa akar umbi kecewa dengan keputusan Wan Azizah dan Rafizi dengan tidak mengambilkira gerak kerja yang sudah dilakukan oleh beberapa calon didakwa pro Azmin, malahan sudah beratus ribu ringgit telah habis dibelanjakan untuk tujuan jentera parti.

“Kami sangat kecewa dengan keputusan Wan Azizah dan Rafizi ini, mereka tidak memikirkan kerja-kerja dan jentera yang sudah bertahun-tahun melakukan kerja berkempen di bawah.

“Macam saya, sudah beratus ribu dibelanjakan untuk jentera dan berkempen, tapi alih-alih nama digugurkan dan kini jentera di kawasan sangat kecewa malah sudah menghentikan segala gerak kerja. Ya, pasti jentera ini akan memboikot dan tidak bersemangat lagi untuk turun bekerja apabila ini berlaku,” kata sumber tersebut.

Menurut sumber, keputusan tersebut dibuat pada saat akhir ketika jentera parti sudah bersiap sedia turun berkempen dan tindakan itu nyata akan memberikan kesan besar kepada peluang blok pembangkang.

“Macam mana nak menang kalau keputusan ini dibuat pada saat akhir, persediaan jentera akan terjejas… ramai penyokong dan petugas parti sudah marah dan tidak menolak mereka akan membuat keputusan lebih drastik semasa pilihan raya nanti,” katanya.

Terdahulu, laporan media mendedahkan Wan Azizah dan Rafizi mengugurkan beberapa nama pemimpin utama PKR yang pro kepada Azmin dalam pilihan raya kali ini.

Antara yang digugurkan dan dikaitkan sebagai kem Azmin dalam PKR adalah Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datuk Dr Tan Kee Kwong; ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari; ADUN Taman Medan, Hanizah Mohd Talha dan ADUN Rawang, Gan Pei Nie.

Beberapa pemimpin PKR di negeri-negeri lain yang pro Azmin difahamkan juga digugurkan. – MalaysiaGazette