Raja Nong Chik Zainal Abidin

KUALA LUMPUR – “Saya turun padang bukan hanya semalam, tapi saya sudah buat kerja hampir lima tahun lalu dan kerana itu sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) semakin meningkat,” kata calon BN Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin.

Maka tidak hairan jika beliau sekali lagi dicalonkan di Parlimen Lembah Pantai dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) susulan penyandang kerusi itu, Nurul Izzah Anwar didakwa tidak memberikan perkhidmatan kepada rakyat di kawasan itu.

“Sokongan kepada BN meningkat sebab wakil rakyat dulu tidak memberi perkhidmatan dan mungkin apa yang dilaksanakan oleh pucuk pimpinan BN baik di peringkat nasional ataupun Wilayah Persekutuan.

“Dia (Nurul Izzah) tidak menjiwai apa yang dikehendaki oleh rakyat Lembah Pantai, dari segi kebajikan, pekerjaan, isu perumahan dan isu perancangan pembangunan khususnya sekolah agama dan infrastruktur,” katanya ditemui selepas Pelancaran Manifesto dan Pengumuman Calon BN Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Calon BN Lembah Pantai P121, Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin di angkat oleh penyokongnya selepas diumumkan sebagai calon pada Majlis Pelancaran Manifesto dan Memperkenalkan Calon BN Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 APRIL 2018

Raja Nong Chik selaku Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai hari ini tercalon sekali lagi sebagai wakil BN di Parlimen Lembah Pantai pada PRU14 pada 9 Mei ini.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei 2013, calon PKR, Nurul Izzah yang memperoleh 31,008 undi menewaskan Raja Nong Chikyang hanya mendapat 29,161 undi.

Bagaimanapun kemenangan Nurul Izzah dengan majoriti tipis 1,847 undi antara sebab Naib Presiden PKR ‘lari’ ke kawasan lain iaitu Parlimen Pandan pada pilihan raya kali ini.

Raja Nong Chik juga kesal dengan tindakan Nurul Izzah yang memberi alasan tiada kuasa untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat Lembah Pantai sedangkan beliau sendiri tidak mempunyai hubungan baik dengan pegawai-pegawai kerajaan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (tengah) bergambar kenangan dengan barisan calon BN Wilayah Persekutuan pada Majlis Pelancaran Manifesto dan Memperkenalkan Calon BN Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 APRIL 2018

“Lima tahun lalu, saya pun tiada kuasa, saya tiada peruntukan, hanya ahli Parlimen BN yang ada peruntukan

“Tetapi saya melaksanakan mengikut kemampuan yang ada, dan untuk kuasa, saya mohon juga dengan DBKL, Kementerian Wilayah dan kementerian-kementerian lain yang saya kena ikut proses biasa.

“Saya tiada layanan VIP lagi, saya nak jumpa dengan pegawai DBKL, saya kena datang awal 8 pagi. Wakil rakyat sekarang dia tahu hantar surat saja, dan hantar emel,” katanya lagi. – MalaysiaGazette