PULAU PINANG – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilihat cuba menutup pergolakan dalaman parti itu berhubung isu senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Di sebalik desas-desus senarai calonnya ditolak Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Azmin bagaimanapun menegaskan perkara tersebut tidak berlaku.

Malah, beliau turut mendakwa tidak memilik senarai calon sendiri sebaliknya keputusan tersebut dibuat menerusi persetujuan parti.

“Siapa kata saya ada senarai calon sendiri? Maaf, saya tidak akan layan desas-desus seperti ini.

“Senarai calon dikemukakan oleh negeri dan negeri terima senarai itu daripada peringkat cabang. Saya tidak ada senarai sendiri, senarai yang ada itulah senarai parti,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelancaran pusat operasi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Jaya dan Parlimen Permatang Pauh di sini hari ini.

BACA: Kartel Azmin akan boikot calon pilihan Wan Azizah, Rafizi

Awal hari ini, beberapa portal berita dan blog mendakwa Wan Azizah menolak senarai lapan calon PKR bagi PRU-14 yang diserahkan Mohamed Azmin yang turut mengandungi nama bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua dan pegawai Mohamed Azmin, Hilman Idham.

Situasi itu menyebabkan pergeseran dalam PKR ketika ini semakin tegang antara kumpulan Mohamed Azmin dan Wan Azizah serta Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Berikutan itu juga, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin didakwa bertemu Wan Azizah pagi ini dipercayai bagi membincangkan lebih lanjut mengenai senarai yang dikemukakan Mohamed Azmin. – MalaysiaGazette