Mohamad Fuzi Harun
Seorang suri rumah berusia 51 tahun ditahan pasukan Counter Terrorism Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Puchong pada 9 Mei lepas kerana merancang serangan pada hari pilihan raya umum ke-14 (PRU14) pada hari yang sama. - KPN Tan Mohamad Fuzi Harun.

KUALA LUMPUR – Polis menafikan dakwaan yang tersebar luas di media sosial kononnya pasukan keselamatan itu lewat bertindak dalam kejadian bunuh seorang pensyarah warga Palestin di Setapak, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sudah menemubual individu yang membuat terjemahan dalam video berkenaan, dikenali sebagai Muhammad Najmi Rohaizad Mohd Nazri dan beliau mengakui tersilap membuat terjemahan itu.

“Terjemahan video berkenaan menunjukkan seolah-olah pihak polis mengambil masa yang lama untuk tiba di tempat kejadian dan mangsa mungkin dapat diselamatkan jika bantuan tiba lebih awal.

“Selain itu, lelaki warga Arab yang dirakam itu dilaporkan adalah saksi yang berada bersama-sama mangsa ketika kejadian berlaku, sedangkan hasil temu bual ke atas semua saksi mendapati tiada seorang pun warga asing yang berada bersama mangsa ketika itu,” katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Laporan yang viral di media sosial sejak pagi tadi itu memaparkan seorang lelaki warga Arab, dirakam sedang menceritakan sesuatu di lokasi kejadian dan disertakan dengan teks terjemahan bahasa Melayu, yang mendakwa polis tiba lewat di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, warga Arab terbabit sebenarnya memberitahu yang beliau menghubungi pihak polis sebanyak tiga hingga empat kali bagi melaporkan kejadian dan bukannya sehingga 43 kali seperti yang disiarkan dalam rakaman itu.

“Berdasarkan rekod, pihak polis menerusi MERS 999, menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 6.41 pagi sebelum sebuah kereta peronda polis diarah ke lokasi pada jam 6.44 pagi dan tiba lima minit kemudian.

“Sehubungan itu, pihak polis turut meminta lelaki warga Arab yang membuat dakwaan dalam video itu, tampil bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Dalam kejadian awal pagi semalam, imam dan juga pensyarah Dr Fadi al Batsh yang sudah berkeluarga ditembak mati di luar kondominiumnya di Jalan Gombak, Setapak.

Mangsa yang berusia 35 tahun ditembak dua lelaki yang menunggang motosikal dan terdapat empat kesan tembakan pada badannya. – MalaysiaGazette