KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk memecat ‘orang dalaman’ yang melakukan sabotaj kepada parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, penyingkiran itu telah pun dilakukan terhadap ahli-ahli UMNO baru-baru ini yang terlibat dalam cubaan mengharamkan UMNO.
“Saya pecat (pensabotaj UMNO), 16 orang itu pun saya dah pecat, dalam BN saya dah bagi (amaran) tiga minggu lepas.
“Kita di ibu pejabat ada sistem yang kita tahu siapa yang melaksanakan kerja-kerja yang sabotaj orang dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Manifesto BN Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Semalam, UMNO bertindak memecat serta-merta 16 ahli dari lima negeri yang menfailkan semakan kehakiman bagi pembubaran parti itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat susulan kegagalan mengadakan pemilihan parti di semua peringkat.
Tengku Adnan selaku setiausaha agungnya berkata, pemecatan itu berkuatkuasa pada Sabtu dan selaras dengan Fasal 20.7 Perlembagaan UMNO menyatakan mana-mana ahli yang memfailkan permohonan atau tindakan ke mahkamah akan secara automatik hilang keahlian.
Pemecatan itu juga mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan tidak membenarkan apa jua perkara parti sama ada hal ehwal pengurusan, kewangan dan yang berkaitan dengan pentadbiran parti dibawa ke mahkamah.
Ditanya tentang kaedah untuk mengesan pensabotaj dalaman termasuk kerana kecewa selepas tidak dicalonkan dalam PRU14, Tengku Adnan berkata, pihaknya sedang mengesan ahli-ahli BN terbabit di setiap kawasan melalui wakil yang dilantik.
“Kita akan ambil tindakan. Kita sedang mengesan (pensabotaj), saya ada nazir, setiap kawasan kita ada nazir, apa yang berlaku di setiap kawasan saya tahu,” katanya. – MalaysiaGazette