Pengerusi Barisan Nasional Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto dan Sesi Memperkenalkan Calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – “Tak guna pilih pembangkang (Pakatan Harapan), mereka tidak akan buat kerja,” demikian kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata, walaupun ada kawasan yang tidak dimenangi oleh BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, namun Kerajaan BN tetap menyalurkan peruntukan dan menyediakan keperluan rakyat.

“Walaupun ada kawasan bukan milik BN tapi kita tetap bantu rakyat. Kita harap rakyat akan sedar bahawa tak guna pilih pembangkang ini, mereka tak akan buat kerja,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Manifesto dan Pengumuman Calon BN Wilayah Persekutuan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Tengku Adnan berkata, beliau optimis manifesto dan calon BN yang diketengahkan kali ini mampu menambah jumlah kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada PRU14.

“Saya percaya kita akan menang kerusi lebih daripada apa yang kita ada hari ini. Terpulang kepada rakyat untuk menilainya.

“Bahkan dalam Manifesto BN Pusat, kita telah mencapai 99.4 peratus apa yang kita janjikan dalam pilihan raya lepas.

“Rakyat tahu siapa yang ‘perform’ dan siapa yang boleh sediakan apa yang diperlukan rakyat.

“Saya harap dengan manifesto baharu ini atau janji pilihan raya yang kita ketengahkan, mereka akan faham dan kita sudah semestinya memenuhi janji itu,” katanya. – MalaysiaGazette