Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail melompat ke kerusi Parlimen Pandan menggantikan Rafizi Ramli pada PRU-14.

Sementara itu, anaknya Nurul Izzah Anwar berpindah dari Lembah Pantai ke Permatang Pauh seperti diramalkan.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali kekal di Gombak dan Zuraidah Kamaruddin juga kekal di Ampang, menurut satu kenyataan media dikeluarkan PKR malam tadi.

Manakala Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula bertanding di Parlimen Kulim Bandar Baharu dan dalam masa yang sama bertanding di kerusi DUN Pantai Jerejak.

Naib Presiden PKR, Dr. Xavier Jayakumar ke Parlimen Kuala Langat menggantikan Datuk Abdullah Sani yang berpindah ke Parlimen Kapar.

Seorang lagi Naib Presiden PKR, Tian Chua kekal calon di Parlimen Batu sementara Datuk Kamaruddin Jaafar beralih ke Parlimen Bandar Tun Razak.

Di Melaka, Shamsul Iskandar Akin juga kekal di Parlimen Bukit Katil yang kini bertukar nama kepada Parlimen Hang Tuah Jaya.

Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah pula ke Parlimen Indera Mahkota bagi menentang Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi.

Kedua-dua mereka pernah berentap kerusi Parlimen Temerloh sebelum ini semasa Saifuddin menjadi calon Barisan Nasional.

Fuziah Salleh juga kekal bertanding di Kuantan.- MalaysiaGazette