Home Nasional Abang Johari yakin calon BN boleh menang majoriti

Abang Johari yakin calon BN boleh menang majoriti

Sawarak state election government assembly Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yakin barisan calon yang dinamakan hari ini untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mampu menepati sasaran Barisan Nasional (BN) untuk menang majoriti kerusi Parlimen di Sarawak.

Beliau berkata daripada 31 kerusi Parlimen itu, 14 kerusi akan ditandingi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tujuh oleh Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), enam kerusi oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan empat lagi oleh Parti Progresif Demokratik (PDP).

Abang Johari berkata daripada 31 calon BN, 15 adalah muka baharu yang mana PBB dan SUPP masing-masing memperkenalkan enam muka baharu, PRS (dua) dan PDP (satu) manakala 16 calon merupakan penyandang.

“Seramai 25 calon adalah lelaki dan enam wanita. Kita yakin bahawa BN boleh memenangi 29 kerusi pada PRU kali ini,” katanya ketika mengumumkan calon BN Sarawak untuk PRU14 di sini hari ini.

Abang Johari yang juga Pengerusi BN Sarawak turut mengucapkan terima kasih kepada SUPP dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) kerana sanggup menggunakan satu platform untuk menghadapi PRU kali ini.

Katanya, kesemua 31 calon BN itu juga telah ditapis dan disahkan bebas daripada sebarang bentuk jenayah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau berkata anak Presiden UPP Datuk Seri Wong Soon Koh iaitu Wong Kee Yew@Andrew Yew daripada SUPP dicalonkan untuk kerusi Sibu.

Sementara itu, Abang Johari berkata pemilihan calon baharu daripada kalangan personaliti muda dan berpengalaman adalah untuk mempersiapkan negeri ini menghadapi era digital.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada beberapa penyandang kerusi kerana bersedia memberi laluan kepada calon yang lebih muda,” katanya.

Beliau berkata setiap pemimpin di negeri ini mesti fokus kepada perpaduan dan kepentingan Sarawak dan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan.

Katanya, manifesto BN Sarawak bagi PRU14 turut menekankan keperluan untuk menyediakan kemudahan-kemudahan asas bagi rakyat negeri ini dan inisiatif-inisiatif diperkenalkan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan rakyat. – MalaysiaGazette