Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPURĀ – Keputusan Pas mengugurkan beberapa penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan bukan disebabkan mereka itu mesra dengan Parti Amanah Negara (PAN).

Sebaliknya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penguguguran itu bertujuan untuk ‘merehatkan’ beberapa calonnya yang menjadi wakil rakyat lebih empat penggal lalu dan memberi laluan kepada muka baharu.

“Kelantan negeri yang kita perintah ada calon yang sudah jadi wakil rakyat macam saya hampir 20 hingga 30 tahun.

“Mereka perlu direhatkan dan diganti calon baharu, yang memerlukan akar umbi parti untuk bersetuju kerana mereka mempunyai akar umbi di peringkat cawangan dan ini perlu diselaraskan,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Dokumen Malaysia Sejahtera di Putrajaya, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan.

Awal bulan ini, Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengesahkan seorang penyandang DUN akan ‘direhatkan’ daripada mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahmad berkata, Mohd Zaki Ibrahim antara wakilnya yang tidak akan dicalonkan semula selepas tiga penggal menjadi wakil rakyat di DUN Kelaboran.

Abdul Hadi berkata, wakil Pas yang direhatkan itu bukan hanya Mohd Zaki sahaja bahkan ramai lagi penyandang kerusi DUN Kelantan juga akan digugurkan namanya dalam PRU14.

“Dia (Mohd Zaki) sudah berkhidmat lama, bukan Zaki saja bahkan ramai lagi digugurkan malah di Terengganu, saya sendiri pun gugur tak bertanding DUN,” katanya. – MalaysiaGazette