Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (dua kiri) kelihatan bersalaman bersama Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (kiri) pada sidang media parti Pas dan parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) di Ibu Pejabat PAS Pusat, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 MEI 2017.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (dua kiri) kelihatan bersalaman bersama Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir (kiri) pada sidang media parti Pas dan parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) di Ibu Pejabat PAS Pusat, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 MEI 2017.
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir menafikan dakwaan parti itu keluar daripada Gagasan Sejahtera yang disebarkan dalam laman media sosial, baru-baru ini.
Beliau berkata, dakwaan itu tidak berasas apatah lagi Ikatan mahu berebut kerusi dengan parti lama itu yang mempunyai keahlian lebih sejuta orang berbanding parti yang diasaskannya itu.
“Dalam Gagasan Sejahtera ini, kami tiada sebarang masalah dari segi perebutan kerusi dan sebagainya, kami bersatu hati dalam Gagasan Sejahtera
“Tiada sebarang masalah sebab saya terbaca dalam Youtube dan sebagainya, bahawa Ikatan keluar daripada Gagasan Sejahtera kerana berebut kerusi dan sebagainya.
“Semuanya tak betul, kadang-kala perkara itu tersebar luas jadi saya terpaksa menafikannya,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Dokumen Malaysia Sejahtera di Putrajaya, malam tadi.
Hadir sama, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden Pas, Idris Ahmad dan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan.
Beliau mengulas khabar angin yang disebarkan di laman media sosial bahawa Ikatan keluar daripada Gagasan Sejahtera kerana didakwa berebut kerusi dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei ini.
Ia susulan pengumuman calon-calon Pas di seluruh negara yang dibuat pada 19 April lalu tidak dilakukan bersama parti komponen Gagasan Sejahtera dan kedudukan kerusi Ikatan masih menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini.
Abdul Kadir berkata, perbalahan itu terbukti tidak berasas apabila Pas telah menawarkan beberapa kerusi kepada Ikatan pada PRU14 ini.
“Pas telah berbesar hati untuk menawarkan kepada Ikatan beberapa kerusi dan ada di antaranya telahpun kami terima dan ada yang lain pula kami tak terima sebab kami tak bersedia di tempat-tempat tertentu,” katanya. – MalaysiaGazette