Pengumuman calon Barisan Nasional Kedah. Gambar Hakim.
Pengumuman calon Barisan Nasional Kedah. Gambar Hakim.

ALOR SETAR – Mereka yang tidak tercalon dalam senarai calon Barisan Nasional (BN) Kedah diharapkan tidak terasa hati dan digesa menjaga setiakawan.

Mereka diminta membantu calon yang terpilih berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

“Semangat setiakawan itu masih ada, sebagai manusia kita memang akan terasa hati… itu biasa lah. Yang penting kita kena bersama dan bersatu dengan calon yang diumumkan,” kata beliau semasa sidang media di Sri Mentaloon.

Dalam pengumuman calon BN Kedah hari ini, tiga orang penyandang digugurkan daripada senarai iaitu Datuk Azmi Che Husain (DUN Bayu), Datuk Ahmad Lebai Sudin (ADUN Bukit Lada) dan Prof Ismail Daut (Parlimen Merbok).

Daripada 51 kerusi iaitu 15 Parlimen dan 36 Dewan Undangan Negeri (DUN), BN Kedah mengekalkan 27 penyandangnya yang berkaliber, berpengalaman dan terbukti mempunyai rekod cemerlang dalam perkhidmatan kepada rakyat sebelum ini.

Jelasnya, calon dipilih semua boleh menang dan diterima baik oleh pengundi.

“Calon-calon ini boleh menang dan diterima pengundi… senarai calon kini atas pertimbangan Presiden dan berkelayakan,” katanya. – MalaysiaGazette