Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan bercakap ketika sesi sidang media pada Program Kesejahteraan Masyarakat India di Bawah Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India di Giant Kota Damansara, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 24 APRIL 2018
Datuk P. Kamalanathan.

KOTA DAMANSARA – Barisan Nasional berada pada kedudukan baik untuk mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Penyandang kerusi itu, Datuk P. Kamalanathan menolak dakwaan kawasan itu dilanda masalah dengan pengundi di kawasan tersebut.

“Saya tidak pernah dengar apa jua masalah dan isu seperti yang anda semua dakwa sekarang. Apa yang saya boleh jelaskan ialah Hulu Selangor bersatu dan teguh ketika ini.

“Kami bersatu dan mahu pastikan mengembalian Parlimen dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya iaitu Batang Kali, Ulu Bernam dan Kuala Kubu Baharu,” katanya kepada pemberita pada program Kesejahteraan Masyarakat India Malaysia menerusi bantuan MyKasih.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Borhan dan calon Barisan Nasional Parlimen Sungai Buloh, A. Prakash Rao Appala Naidu.

Menurut Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC itu, semangat ahli parti dalam mengharungi pilihan raya kali ini sangat luas biasa.

“Kami mahu menang semula Hulu Selangor dan mempertahankan kerusi DUN sedia ada Hulu Bernam dan Batang Kali selain mahu merampas semula Kuala Kubu Baharu (dari DAP).

“BN dalam landasan terbaik untuk membuat kejutan di Selangor,” ujarnya.

Pada PRU-13, beliau berjaya mempertahankan kerusi itu dengan mengalahkan calon PKR Khalid Jaafar dengan majoriti 3,414 undi. – MalaysiaGazette