Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam (tiga kanan) pada Perasmian Institut Kanser Negara (IKN) di IKN, Putrajaya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri S. Subramaniam (tiga kanan) pada Perasmian Institut Kanser Negara (IKN) di IKN, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 24 APRIL 2018

PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata laporan forensik terhadap Imam Palestin, Dr Fadi M R Albatsh Fatma, telah siap dan akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Justeru itu, Subramaniam berkata, sebarang maklumat mengenai kes itu hanya akan disampaikan oleh pihak berkuasa sekiranya perlu.

“Laporan forensik ini adalah kes Polis Diraja Malaysia dan kita selepas buat pemeriksaan forensik, laporan itu akan serahkan kepada mereka dan terpulang kepada polis samada mahu berikan apa-apa maklumat berkaitan kes itu.

“Kita tidak akan keluarkan apa-apa kenyataan berkaitan kes itu dari sudut Kementerian Kesihatan,” katanya dalam sidang media selepas menemani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merasmikan Institut Kanser Negara hari ini.

Dr Fadi maut selepas ditembak ketika dalam perjalanan ke surau berdekatan untuk menunaikan solat Subuh kira-kira 6 pagi.

Sebelum ini, Ketua Jihad Islam Palestin, Khaled al-Batash berkata, kematian Dr Fadi dipercayai didalangi Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad.

Khaled mendakwa dua suspek menaiki motosikal jenis BMW yang melepaskan tembakan jarak dekat berkenaan dipercayai ejen Mossad yang berada di Malaysia.

Pembunuhan Fadi mendapat liputan meluas berita di Asia Barat dan menjadi kecoh apabila Khaled mengeluarkan kenyataan mendakwa pembunuhan itu didalangi serta dirancang oleh Mossad.

Antaranya Haaretz.com, The Times Of Israel dan The Jerusalem Post (jpost) turut menyiarkan kenyataan Khaled yang mendakwa dua lelaki berkenaan adalah ejen Mossad. – MalaysiaGazette