Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap sambil diiringi Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua-ketua wanita parti komponen pada Program ‘Ratu Hati Negaraku’ bersama Wanita Barisan Nasional (BN) bagi menzahirkan Manifesto BN untuk PRU-14, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN) akan memastikan 30 peratus posisi wanita ditempatkan di Dewan Negara selain menambahkan peluang wanita untuk kenaikan pangkat dalam pelbagai sektor.

“Kita juga akan tambah golongan wanita menjadi usahawan dan juga mereka yang boleh mendapatkan rezeki. Kita juga akan jadikan wanita sebagai pemimpin dan mereka yang mesti dilindungi.

“Jangan diganggu wanita. Kita juga akan pastikan martabat wanita akan terus diperjuangkan oleh Barisan Nasional,” kata Datuk Seri Najib Razak semasa di Program Ratu Hati Negaraku yang dihadiri Wanita Barisan Nasional (BN) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Sebelum itu, Najib yang Perdana Menteri membuat kejutan apabila muncul pada majlis itu secara mengejut.

Kehadiran beliau kira-kira pukul 9.40 malam itu mendapat sorakan gemuruh daripada hadirin yang memenuhi setiap sudut di dewan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Wanita BN Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil ketika ditemui berkata, wanita perlu menghayati semua akujanji BN di dalam manifesto yang diumumkan oleh Perdana Menteri.

Pengerusi Wanita Barisan Nasional (BN) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (kanan) menerima aku janji daripada wakil wanita, Siti Fairus Ahmad (kiri) pada Program ‘Ratu Hati Negaraku’ bersama Wanita Barisan Nasional (BN) bagi menzahirkan Manifesto BN untuk PRU-14, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2018.

Katanya, janji BN merupakan satu perkara yang diperakukan dan ia tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.

“Sebenarnya wanita sudah bosan dengan janji yang diberi oleh pembangkang. Mereka hanya membawa perkara yang negatif.

“Sebab itu kita membawakan sesuatu yang membahagiakan wanita dan menjayakan mereka.

“Kita boleh duduk sama dan berbincang. Mereka nak tenang, mereka nak kestabilan, mereka nak bahagia. Sebab itu tema kita adalah membahagiakan dan menjayakan wanita,” ujarnya.

Tegasnya, beliau yakin BN akan dapat melaksanakan kesemua 364 inisiatif yang diumumkan di dalam manifesto dan kepentingan wanita akan diberikan keutamaan. – MalaysiaGazette