Pengerusi Pakatan HARAPAN, Tun Mahathir Mohamad pada Majlis Taklimat Calon-calon Pakatan Harapan PRU-14 di Dewan Auditorium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2018.

PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) menuntut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyegerakan pertemuan dengan mereka bagi mendapatkan penjelasan berhubung pengurusan undi pos dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pihaknya masih menanti jawapan SPR meskipun Ketua Setiausaha Sekretariat PH, Datuk Saifuddin Abdullah telah dimaklumkan melalui surat awal bulan ini.

“Malangnya, kita masih tidak dapat bertemu SPR supaya kita dapat tentukan bagaimana undi pos diadakan. Ada yang akan undi pos di luar negara dan dalam negara, sudah tentu caranya berlainan,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Calon-Calon PH di Dewan Sivik MBPJ di sini hari ini.

Pengerusi Pakatan HARAPAN, Tun Mahathir Mohamad (tengah) bersama kepimpinan tertingi Pakatan HARAPAN serta calon yang lain melafazkan ikrar pada Majlis Taklimat Calon-calon Pakatan Harapan PRU-14 di Dewan Auditorium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 24 APRIL 2018.

Hadir sama Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden PAN, Mohamad Sabu dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddi Yassin.

Sebelum ini, SPR melalui suratnya kepada Saifuddin menyatakan badan itu ‘tiada masa’ menemui pemimpin PH antara lain bagi membincangkan soal taklimat undi pos dan hasrat PPBM menggunakan logo dan simbol PKR dalam PRU14.

Pada 11 April 2018, Saifuddin menghantar surat kepada SPR untuk memohon penjelasan tentang hasrat PPBM, DAP, PAN dan PKR menggunakan satu logo serta satu simbol dalam PRU14 pada 9 Mei ini.

Mahathir juga berkata, isu itu juga antara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH yang berlangsung pagi tadi.

“Kami ingin tahu kerana nama-nama pengundi pos ini tidak akan diberitahu kepada kita sehingga saat terakhir,” katanya.

Tun Mahathir berkata lagi, pihaknya mahu SPR memberikan taklimat mengenainya selain menjawab beberapa persoalan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku semasa undi pos.

SPR sebelum ini memaklumkan rakyat Malaysia menetap di luar negara dan berdaftar sebagai pemilih perlu segera menghantar semula kertas undi ke pegawai pengurus pusat mengundi masing-masing bagi memastikan ia diterima sebelum 5.00 petang pada 9 Mei.

Proses penamaan calon PRU-14 ditetapkan pada 28 April manakala pengundian awal pada 5 Mei dan pengundian pada 9 Mei. – MalaysiaGazette