Home Utama Hadi pula tanya PH dapat duit dari mana?

Hadi pula tanya PH dapat duit dari mana?

Abdul Hadi Awang
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Selepas Pakatan Harapan (PH) mempersoalkan sumber kewangan Pas yang hendak bertanding lebih 150 kerusi Parlimen dan hampir 300 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini presidennya memulangkan paku buah keras kepada pemimpin blok pembangkang itu.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut melontarkan soalan yang sama iaitu dari mana datangnya duit PH untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini.

“Kalau orang tanya, duit sumbangan daripada mana, daripada rakyat. RM90 juta daripada rakyat.

“Pas adalah parti yang bergerak di atas sumbangan rakyat. Ahli Pas ada satu juta, sekarang satu juta.

“Kalau ahli Pas bagi satu ringgit sudah satu juta. Ada ahli Pas yang sudah berjaya dalam perusahaan dan dalam berbagai-bagai. Ada yang bagi ribu-ribu. Jangan pelik Pas dapat, sikit sangat RM90 juta,” katanya dalam kenyataan yang dipetik lidah rasmi Pas, Harakahdaily.

Menurut Abdul Hadi, PH pula yang baharu ditubuhkan dari mana memperoleh sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan bertanding.

“Saya tanya PH ni, minta jawablah,” kata beliau berkaitan soal kewangan PH yang menjadi tanda tanya.

Pas sebelum ini banyak dipersoalkan berkaitan sumbangan terhadap parti dan juga tuduhan menerima RM90 juta yang sudah dibawa ke mahkamah di London dan dijadualkan perbicaraan pada 30 April ini. – MalaysiaGazette