Home Dunia Kentut dapat tukar nama Ihsan Hadi

Kentut dapat tukar nama Ihsan Hadi

Kentut kini dikenali sebagai Ihsan Hadi. foto tempo

JAKARTA – Mahkamah Daerah Tangerang membenarkan permohonan seorang bapa untuk mengubah namanya, Kentut kepada Ihsan Hadi.

Kebenaran yang diberikan oleh Hakim Elly Istianawati itu disambut dengan sujud syukur beberapa kali oleh Kentut di ruang sidang mahkamah, lapor tribunnews.com

“Alhamdulillah, mahkamah membenarkan permintaan saya. Saya sangat gembira, saya akan berasa lebih yakin dan anak saya tidak akan berasa malu lagi kerana bapanya sekarang mempunyai nama yang lebih baik,” kata penjual mi berusia 30 tahun itu.

Ihsan terus mengatakan bahawa ibu bapanya – tanpa sebab yang jelas – memutuskan untuk menamakannya Kentut ketika dia dilahirkan di Surakarta, Jawa Tengah pada tahun 1988.

Lelaki itu berkata, dia memang mahu mengubah nama itu sejak dia dilahirkan tetapi tidak ada seorang pun di kampungnya yang tahu prosedur mengenainya.

“Sebab itu saya menggunakan nama itu bertahun-tahun,” ujarnya.

Ihsan yang menetap di Tangerang sejak 10 tahun lalu tinggal bersama isteri dan tiga anaknya memfailkan permohonan itu di Mahkamah Daerah Tangerang pada Isnin lalu. – MalaysiaGazette