Home Nasional PRU14 jadi tarikan peserta Maraton Perlis 2018

PRU14 jadi tarikan peserta Maraton Perlis 2018

Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan (tengah) bergambar kenangan bersama barisan penaja sempena Perlis Marathon 2018 di Hotel Westin, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 25 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Perang bendera dan poster menjelang Pilihan Raya Umum-14 (PRU14) dipasang oleh parti-parti politik menjadi tarikan kepada peserta luar negara yang menyertai Perlis Maraton 2018.

Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Ihsan berkata, penganjuran larian kali ini amat unik kerana diadakan ketika rakyat Malaysia akan berdepan dengan situasi besar untuk memilih kerajaan.

“Saya pasti mereka akan berlari di mana kiri kanan mereka ada bendera dan gambar calon-calon yang bertanding pada PRU itu. Ia berlaku lima tahun sekali.

“Ini adalah satu perkara yang unik dan ini tarikan untuk mereka melihat Perlis,” katanya pada sidang media pada majlis pengumuman senarai penaja bagi Maraton Perlis 2018 di sini hari ini.

Menurut Syed Omar, selain musim buah mangga dari jenis harumanis yang sekarang ini terlalu banyak di negeri itu dan menjadi salah satu tarikan kepada pengunjung asing, PRU14 mampu menjadi daya penarik kepada pelancong untuk melihat sendiri proses demokrasi dalam memilih kerajaan dilakukan di negara ini.

Dalam pada itu beliau berkata, pemilihan tarikh 5 Mei untuk melangsungkan acara tersebut ketika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan waktu pengundian awal sudah ditentukan sejak awal lagi sebelum ia dimaklumkan kepada umum.

Katanya, tarikh itu tidak boleh lagi ditunda kerana ramai dalam kalangan peserta dari negara asing telah menempah penerbangan untuk datang bagi menyertai larian itu selain tidak mahu menyukarkan mereka.

Tambah beliau, pihak penganjur tidak menjangka PRU14 akan ditentukan pada tarikh terdekat larian itu akan diadakan kerana pemilihan tarikh tersebut telah diputuskan sejak awal tahun lalu.

“Kita dah buat perbincangan dengan semua pihak termasuk polis agar tidak ada gangguan pada hari tersebut iaitu semasa hari pengundian awal.

“Lagipun mereka yang terlibat dengan pengundian awal ini tidak ramai berbanding pada 9 haribulan iaitu hari sebenar rakyat keluar mengundi,” ujarnya.

Maraton Perlis 2018 akan diadakan pada 5 Mei ini di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar Perlis.

Larian yang terbuka kepada beberapa kategori itu telah mendapat penyertaan lebih daripada 14,000 peserta dari 21 buah negara.

Program kali keempat yang diadakan sejak 2015 itu mendapat tajaan daripada banyak pihak dan hadiah utama bagi cabutan bertuah merupakan sebuah kenderaan pelbagai guna SUV jenis Peugeot sumbangan syarikat kumpulan Naza. – MalaysiaGazette