Puad menyifatkan usahanya membantu kerajaan selama ini tidak berbaloi kerana tidak dipilih sebagai calon BN pada PRU14.
Puad menyifatkan usahanya membantu kerajaan selama ini tidak berbaloi kerana tidak dipilih sebagai calon BN pada PRU14.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr Puad Zarkashi hari ini mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA).

Beliau menyifatkan peletakan jawatan itu sebagai langkah terbaik baginya, walaupun usaha mempertahankan kerajaan melalui JASA yang diketuainya tidak berbaloi.

“Hari ini hari terakhir saya di JASA. Saya tidak mengubah keputusan untuk meletak jawatan. Memang, ramai juga yang akan mengutuk saya. Saya tetap tabah.

“Berakhirlah riwayat saya di JASA, tempat panas sehinggakan DAP membawa usul ke Parlimen di sidang Dewan Rakyat terakhir awal tahun ini supaya JASA dibubarkan. Sebelum ini dalam bajet Pakatan Harapan (PH) pun mereka mencadangkan supaya JASA ditutup sahaja,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh kakitangan JASA kerana bekerjasama dengannya siang dan malam melaksanakan tugas serta tanggungjawab penuh dedikasi.

“Maafkan saya kerana memimpin JASA dengan cara yang keras dan tegas. Allah juga yang akan membalas pengorbanan anda semua. Until I win.

“Kalau mahu disebut satu persatu memang banyak yang telah dilakukan sehingga JASA semakin dikenali termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak dan juga di kalangan pelajar Malaysia di luar negara,” katanya.

Puad juga menjelaskan tuduhan mendakwa beliau marah dan merajuk kerana tidak dicalonkan dengan berkata, itulah tuduhan oleh mereka yang tidak mengikuti sejarahnya.

Menurutnya, pada PRU10 tahun 1999 namanya dipotong pada saat akhir kerana beliau dituduh penyokong (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan pernah menjadi guru di sekolah bekas Timbalan Perdana Menteri itu di Yayasan Anda Akademi.

“(Walaupun dituduh) saya tidak lari. PRU11 tahun 2004, nama saya langsung tidak tersenarai walaupun ketika itu saya adalah Timbalan Ketua dan Setiausaha Politik (mantan) Menteri Besar Johor, Tan Sri Ghani Othman.

“Saya juga meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Politik serta merta, tetapi saya juga tidak lari. Sehinggalah PRU13 tahun 2013 saya kalah kerana tsunami Cina. Ramai tokoh lain juga kalah, tetapi mereka tetap dapat bertanding kali ini.

“Saya juga tidak lari. Pada PRU14 ini, saya digugurkan dalam tempoh 24 jam setelah menerima panggilan, dan sebelumnya ditemui oleh Tan Sri Fatmi Che Salleh yang mengesahkan pencalonan saya,” katanya.

Beliau mendakwa, penggugurannya berlaku tanpa perundingan walaupun beliau adalah Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Ketua Pengarah JASA dan Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat.

Sebab itu, katanya, beliau berani mempersoalkan sistem memilih calon kali ini adalah rosak.

“Sebab itu apabila Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) mendakwa saya digugurkan kerana berlaku kerosakan sehingga sokongan terhadap BN merosot di Parlimen Batu Pahat, maka ia meyakinkan saya sistem memilih calon UMNO kali ini adalah rosak dan korup.

“Bagaimana dikatakan berlaku kerosakan, sedangkan UMNO Batu Pahat berjaya menambah dan memindah pengundi hampir 7,000 orang sehingga menyebabkan Parlimen Batu Pahat menjadi top five pertambahan tertinggi pengundi Melayu di Johor.

“Apakah saya akan dikenakan tindakan disiplin kerana menjawab komen TPM secara terbuka? Kalau begitu kenapa (Datuk Seri) Ahmad Said yang membawa usul supaya Datuk Seri Ahmad Razif (Abdul Rahman) dipecat sebagai menteri besar tidak dikenakan tindakan dan dicalonkan semula?” tanya beliau.

Puad mengakui sistem pemilihan sudah rosak dan calon tidak bermoral dipilih, manakala yang tidak membantu parti juga terpilih. – MalaysiaGazette