Mukhriz Mahathir
Mukhriz Mahathir

ALOR SETAR – Calon Menteri Besar (MB) Kedah Pakatan Harapan (PH) masih belum diputuskan dan ia hanya akan ditentukan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 terlebih dahulu, kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pengerusi PH Negeri itu berkata, tidak ada perbincangan mahu pun kata putus dimuktamadkan berhubung isu tersebut, sebaliknya menunggu keputusan pilihan raya kelak baharu diketahui calon MB.

“Belum, belum ada lagi… tunggu pilihan raya dulu,” kata beliau semasa sidang media pengumuman calon PH semalam di Stargate.

Ura-ura mengatakan Mukhriz antara calon yang bakal diangkat menjawat jawatan penting tersebut selepas tersingkir pada 2016 dan digantikan oleh Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Selain Mukhriz, seorang lagi yang disebut calon MB adalah bekas ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk Ir. Amiruddin Hamzah yang lompat menyertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Mengenai prestasinya sebagai MB yang dipertikaikan oleh setengah pihak, Mukhriz mempertahankan dirinya dengan mendakwa tidak diberikan masa yang cukup untuk membuktikan kemampuan mengurus pentadbiran kerajaan negeri selepas sempat memerintah dua tahun setengah sahaja di Kedah.

“Saya tidak diberikan masa yang cukup, dua tahun setengah masa tidak cukup kerana memerlukan perancangan dan pelaksanaan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Mukhriz juga mengulas berhubung calon yang bakal ditentangnya di Jitra, Datuk Aminuddin Omar yang juga rakan baiknya, beliau berkata langkab itu sengaja dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) yang mengetahui tentang keakraban antara kedua-dua mereka sebagai rakan.

“Saya lihat bahawa pemilihan beliau di sebagai calon Jitra sengaja dilakukan oleh BN kerana mereka mengumumkan selepas nama saya diumumkan di Jitra.

“Walaupun begitu saya terima hakikat itu dan kita masuk gelanggang dengan penuh keyakinan dan menawan hati rakyat untuk memberikan DUN Jitra kepada Pakatan Harapan nanti,” katanya. – MalaysiaGazette