PRU14, Bagan Datuk, Pangkor, empat penjuru
Parlimen Bagan Datuk P075 bakal menyaksikan pertembungan di antara empat penjuru semasa tinjauan Lensa Malaysia Gazette sempena Pilihanraya Umum (PRU) ke-14 di sekitar Pekan Bagan Datuk, Bagan Datuk, Perak. foto FAREEZ FADZIL, 26 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak akan menyaksikan pertembungan empat penjuru atau lebih.

Antaranya kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Parlimen Teluk Intan oleh Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong dan DUN Pangkor.

Ahmad Zahid dijangka ditentang 3 lagi wakil antaranya dari Pas, Ata Abdul Muneim Hasan Ali, dari PKR Pakhrurrazi Arshad dan wakil bebas Ibrahim Mat Zin atau Raja Bomoh.

Raja Bomoh sebelum ini membuat pengakuan bahawa beliau akan bertanding menentang Ahmad Zahid pada PRU-14, 9 Mei depan.

Kerusi milik Mah Siew Keong juga turut mencuri tumpuan pada PRU14.

Mana tidaknya, Siew Keong yang juga Presiden Gerakan bakal menghadapi cabaran besar pada pilihan raya kali ini.

Ini kerana beliau hanya memenangi kerusi itu tipis dengan hanya 238 undi ketika menewaskan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 2014.

Siew Keong, yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi turut bertanding kerusi sama pada PRU-13, namun tewas kepada calon DAP, Seah Leong Peng yang memperoleh majoriti 7,313 undi.

Penyandang kerusi DUN Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut akan menghadapi pertembungan empat penjuru apabila terdapat wakil bebas yang akan menjadi calon, esok.

Leman Kanaulla dijangka menggunakan tiket Bebas di kerusi itu bagi merebut undi.

Selain Bebas, Pas dan PH turut meletakan calon masing-masing dengan menamakan Zainal Abidin Saat dan Komander (B) Nordin Ahmad Ismail.

Esok Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU-14) akan bermula apabila kesemua calon ke pusat penamaan di seluruh negara bagi melayakkan mereka bertanding.

BN Perak meletakkan semua calon di 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi DUN manakala Pas di 21 kerusi.

Pakatan Harapan (PH) setakat ini hanya bertanding di 17 kerusi dengan 7 daripadanya ditandingi DAP, 4 Parti Amanah Negara (PAN), 5 daripada PKR dan hanya satu kerusi diberikan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). – MalaysiaGazette