Orang ramai mendengar calon Barisan Nasional P.085 Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Pengerusi Barisan Nasional menyampaikan amanat Perutusan Khas secara langsung menerusi TV3 sempena kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Restoran Muar Soup House, Muar, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 08 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau mahu melihat dan membuatkan rakyat negara ini hidup dalam suasana riang dan gembira.

Katanya, sepanjang masa ketika turun padang berjumpa rakyat, beliau dapat menyelami apa yang rakyat hendak, termasuk mendengar pandangan, cadangan dan kritikan membina dari mereka untuk kebaikan negara.

“Kita bukan saja meraikan amalan demokrasi, tapi proses itu memberi peluang kepada saya sebagai pemimpin untuk bertemu dengan rakyat. Ini yang saya hargai.

“Setiap detik, setiap wajah (rakyat) yang saya lihat, setiap tangan yang saya genggam, saya akan ingat. Dan dalam banyak-banyak itu, (antara) detik-detik yang mengharukan saya, ada yang pegang tangan saya tidak mahu lepas, ada yang angkat tangan saya letak di pipi mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Khas di pekarangan kediaman lamanya di Pekan, Pahang, malam ini.

Turut hadir, ibunya, Tun Rahah Mohammad Noah dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut Najib, beliau akui sedih dan kecewa dengan pelbagai fitnah yang dilemparkan pihak pembangkang kepadanya termasuk ahli keluarganya dan pernah terfikir betapa peritnya menanggung tuduhan demi tuduhan yang tidak berasas itu.

“Namun bila saya lihat rakyat, ada yang menitis air mata, ada yang genggam tangan saya, mereka minta saya teruskan perjuangan ini… dan bila saya lihat wajah mereka ini di ratusan tempat yang saya kunjungi, maka luka di hati, parut di jiwa saya telah lenyap dan hilang.

“Hilang segala-galanya (duka dan nestapa) sebab rakyat mahu saya teruskan perjuangan.

“Maka saya, Najib Razak bagi pihak calon-calon Barisan Nasional (BN) dengan setulus hati dan tawaduk, saya pinta, saya pohon dan merayu kepada pengundi, tanpa ragu-ragu lagi dengan hati yang tekad dan nurani yang bulat pada PRU14 esok, pilihlah kami BN,” katanya.

Beliau berkata, BN adalah parti yang telah terbukit rekod dan prestasinya, selain mengotakan semua janjinya.

Menurutnya, BN akan memastikan hari esok lebih baik daripada hari ini dan sebagai pemimpin, beliau sentiasa memikirkan kos sara hidup atau dompet rakyat.

Najib memberitahu, semangat yang ditunjukkan rakyat kepada beliau dan kepimpinannya menguatkan lagi azam beliau untuk terus berjuang. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan