Sebahagian penyokong Pakatan Harapan menonton upacara angkat sumpah Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 menerusi skrin telefon bimbit ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di perkarangan Pintu 2 Istana Negara, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 MEI 2018.
Sebahagian penyokong Pakatan Harapan menonton upacara angkat sumpah Tun Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 menerusi skrin telefon bimbit ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di perkarangan Pintu 2 Istana Negara, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 MEI 2018.

PETALING JAYA – Keputusan Pilihan Raya di Malaysia turut mencuri tumpuan media massa dari China, Taiwan dan Hong Kong yang khusyuk membincangkan implikasi kemenangan Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap hubungan Kuala Lumpur-Beijing.

Keadaan itu berlaku khususnya kerana Dr. Mahathir telah menyatakan kehendaknya untuk mengkaji semula projek-projek pelaburan dari China.

Media Massa di negara dan wilayah berkenaan justeru hangat membincangkan sama ada pelantikan Dr. Mahathir akan menjelaskan pelaburan China di Malayasia.

“Kenyataan ‘anti-China’ Dr. Mahathir menyebabkan orang mengambil berat sama ada hubungan Malaysia dengan China akan diselaraskan selepas beliau mentadbir Malaysia. Tidak dilupakan bahawa China merupakan rakan dagang utama Malaysia pada masa ini,” demikian lapor CNA Taiwan.

Wujud juga analisis yang berpendapat Malaysia mungkin amalkan dasar luar mirip Myanmar iaitu rapat China dalam soal ekonomi, tetapi mesra Amerika dalam soal pertahanan.

China Press di Kuala Lumpur pula melaporkan, Pensyarah Sains Politik Chinese University Hong Kong, Li Hak Yin, berasa optimis tentang hubungan Malaysia-China.

Jelasnya, kenyataan anti-Cina oleh Dr. Mahathir hanyalah ‘bahasa pilihan raya’ yang tidak semestinya menjadi polisi.

Katanya lagi, hubungan ekonomi yang rapat antara China dengan negara-negara Asia Tenggara menyebabkan Beijing sering kali menjadi topik pilihan raya yang signifikan dalam negara-negara rantau tersebut.

Hak Yin berkata, Dr. Mahathir tidak akan mengubah hala tuju Malaysia dalam hubungannya dengan China, walaupun “penyelarasan kecil” mungkin sukar dielakkan.

Katanya, persefahaman yang dipersetujui dan projek yang sedang dilaksanakan tidak boleh dimungkiri atau dibatalkan, tetapi Kuala Lumpur mungkin menyelidik projek baharu melibatkan China.

Penganalisis politik itu menjangkakan Malaysia akan mencontohi Myanmar untuk mengamalkan dasar luar seimbang iaitu rapat dengan China dari segi ekonomi, tetapi mesra Amerika dalam soal pertahanan dan diplomasi.