Tun Daim Zainuddin yang baru dilantik sebagai anggota Majlis Penasihat kerajaan yakin bahawa pemerintah baharu mampu melaksanakan
GST

KUALA LUMPUR – Tun Daim Zainuddin yang baru dilantik sebagai anggota Majlis Penasihat kerajaan yakin bahawa pemerintah baharu mampu melaksanakan “10 pentadbiran baharu” dalam tempoh 100 hari.

Daim memberitahu China Press, 10 perkara tersebut termasuk pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Beliau tidak menafikan bahawa kebanyakan negara mengutip GST malahan pada kadar lebih tinggi berbanding Malaysia, tetapi negara berkenaan memanfaatkan kutipan cukai itu untuk rakyat.

Menurut Daim, keadaan itu bagaimanapun tidak mengambil tempat di Malaysia di bawah kerajaan terdahulu sehingga orang ramai mengkritik kerajaan mengutip cukai dari hari sebelum kelahiran sehingga hari kematian seseorang.

Beliau juga menasihatkan rakyat supaya tidak bimbang dengan apa yang akan berlaku kerana Malaysia telah pun berjaya mengatasi pelbagai keadaan yang “huru-hara” sebelum ini.

Ditanya tentang impak penghapusan GST dan pengaktifan semula subsidi minyak ke atas penarafan antarabangsa Malaysia, Daim berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga ambil berat perkara itu.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, Dr. Mahathir mempunyai pasukan ekonomi sendiri untuk menenangkan pasaran dan menghadapi pergolakan jangka pendek.

Kata Daim, Dr. Mahathir juga pernah mendapatkan nasihatnya berhubung isu itu.

“Saya cakap baik, takda masalah apabila dihubungi Dr. Mahathir sebelum ini. Saya akan menjawab pertanyaan berkenaan isu ini,” katanya.

Berkenaan rumah mampu milik, Daim berkata, ia harus dilaksanakan dengan betul tanpa campur tangan politik.

Daim juga mengejek kerajaan terdahulu “tidak tahu membina rumah” .

“Pembinaan rumah harus diserahkan kepada golongan profesional tanpa mengira kaum,” katanya.

Berkenaan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) yang mencetuskan perdebatan, Daim berkata, projek itu melibatkan kos terlalu tinggi, dan pasti lebih murah jika diserahkan kepada syarikat tempatan.

Beliau percaya, kerajaan akan mengkaji semula projek mega tertentu, tanpa menjejaskan hubungan dengan negara lain.

“Ini skandal dalaman, negara kita tidak mahu melibatkan China dalam isu ini. Harus jelas bahawa imej Malaysia dan China akan dipertahankan.

” Jika kontrak itu tidak saksama, maka ia akan dirundingkan semula dengan baik,” katanya sambil menambah, “adalah lebih baik untuk kerajaan memajukan ekonomi negeri berlainan, dan selepas ekonomi sudah maju, barulah bina landasan kereta api.”

Bagi Daim, isu GST, persempadanan semula kawasan pilihan raya serta tindakan Barisan Nasional (BN) menghalang calon lawan bertanding merupakan faktor kejatuhan kerajaan terdahulu. – MalaysiaGazette