Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menolak permohonan Datuk Zainol Fadzi Paharuddin untuk menyertai parti itu.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu menegaskan, penolakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik itu dibuat setelah mendapati Jamaluddin Mohd Radzi hadir bersama pada sidang media yang dibuat oleh Zainol di Hotel Kinta River Front di Ipoh semalam.

Menurut beliau, Jamaluddin telah menjadi salah satu faktor pengkhiatan terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH) sehingga berlaku krisis pentadbiran di Perak pada 2008.

“Seperti yang semua maklum bahawa Datuk Zainol Fadzi Paharuddin adalah antara mereka yang menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan Negeri Perak selepas PRU14 yang lalu.

“Kehadiran saya tidak lain hanya untuk menerima kemasukan beliau dan meraikan penyertaan yang lain sebagai tanda sokongan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia peringkat Negeri
Perak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Faizal berkata, keputusan yang dibuat itu diambil menerusi prinsip bahawa setiap kemasukan sesiapa sahaja ke dalam PH khususnya di Perak akan dibawa untuk
pertimbangan yang tegas agar segala episod duka rakyat tidak berulang.

Semalam, Zainol serta empat pemimpin lain adalah antara 200 anggota UMNO yang mengisytiharkan keluar parti dan mahu menyertai PPBM.

Empat pemimpin tersebut ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Kamarul Rashdan Salleh, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Bagan Serai, Datuk Abd Muhaimin Ahmad Nadzri, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Teluk Intan Nadziruddin Mohd Bandi serta Ketua Penerangan UMNO Bahagian Tapah Pazli Abdullah Sani.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Zainol Fadzi menang kerusi DUN Sungai Manik dengan mendapat 9,265 undi mengalahkan calon PKR Mohamed Maharani Md Tasi yang mendapat 7,326 undi, calon PAS Mohamed Yusoff Abdullah yang mendapat 4,071 undi dan Dr Mustapa Kamal Maulut dari Berjasa yang mendapat 169 undi.

Mereka menyerahkan borang keanggotaan PPBM kepada Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dalam satu majlis di sini.

Zainol Fadzi yang juga bekas exco kerajaan negeri terdahulu berkata mereka membuat keputusan itu secara sukarela dan tanpa paksaan, imbuhan atau sebarang janji daripada mana-mana pihak. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.