Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua - Ketua Setiausaha Kementerian dan menerima kunjungan hormat Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 14 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengakui bahawa China adalah rakan Malaysia dan mengalu-alukan pelaburan langsung asing (FDI) daripada ekonomi kedua terbesar dunia itu dan semua negara.

Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia berbeza dengan apa yang terkandung dalam FDI daripada negara China.

Jelas beliau, FDI adalah membawa modal, teknologi menubuhkan loji serta memberi pekerjaan kepada rakyat Malaysia hingga tahap eksekutif, serta menghasilkan barangan untuk pasaran domestik dan eksport.

Dalam wawancara bersama Wall Street Journal semalam, Dr Mahathir berkata: “Kita tidak boleh menganggap datang ke Malaysia, kemudian membeli tanah-tanah yang banyak dan membangunkan bandar, dan membawa masuk orang asing ke negara ini sebagai FDI.

“Satu bandar di selatan akan mempunyai 700,000 orang. Itu adalah bandar-bandar yang sedang dibina dengan apartmen-apartmen mewah dan mahal sedangkan kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu membelinya.

“Malah, orang peribumi yang menjadi kalangan orang miskin di negara ini tidak boleh mendapat manfaat dengan pembangunan baru ini,” katanya Dr Mahathir.

Tegasnya, bandar-banadar itu pastinya akan didiami oleh kebanyakan orang asing termasuk China.

Sedangkan, kata Dr Mahathir, kebanyakan negara termasuk Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah cuba mengelakkan kebanjiran warga asing.

“Begitu juga dengan Malaysia, kita perlu mengawal ketat imigresen dan hanya menerima sejumlah angka sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette