Majlis menandatangani persefahaman (MoU) kemudahan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) antara Awan Mega Sdn. Bhd. dan Kerajaan Laos berlangsung di Laos baru-baru ini.
Majlis menandatangani persefahaman (MoU) kemudahan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) antara Awan Mega Sdn. Bhd. dan Kerajaan Laos berlangsung di Laos baru-baru ini.

KUALA LUMOUR – Awan Mega Sdn. Bhd. (Awan Mega) melakar sejarah tersendiri apabila bakal membangunkan kemudahan industri penerbangan, Awan Mega Air Park Centre  (AMAC) di Savannakhet, Laos.

Berperanan sebagai penyedia kemudahan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), AMAC bakal dibangunkan dengan kerjasama syarikat induknya, Airport Kinesis Consulting (AKC).

Naib Presiden AKC, Shad Serroune berkata, AMAC merupakan nilai tambah kepada industri penerbangan negara itu dengan menawarkan perkhidmatan teknikal dan komersial sebagai pemangkin kepada industri tersebut.

“AMAC di Savannakhet akan menjadi tambahan kepada rangkaian AMAC dalam menyediakan perkhidmatan yang unggul kepada industri penerbangan di rantau Asia terutamanya Asia Tenggara.

“Jumlah kos untuk kajian kebolehlaksanaan AMAC ini dianggarkan AS$4.7 juta (RM17.8 juta) bagi membuat kajian menyeluruh mengenai projek itu sendiri,” katanya.

AMAC di Loas bakal dibangunkan dengan kerjasama syarikat induknya, Airport Kinesis Consulting (AKC).
AMAC di Loas bakal dibangunkan dengan kerjasama syarikat induknya, Airport Kinesis Consulting (AKC).

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani persefahaman (MoU) kemudahan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) antara Awan Mega dan Kerajaan Laos baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Awan Mega, Kapten Norsham Hashim dan Syed Ibrahim Mohammad Mydin.

Shad menambah, kajian kelayakan oleh Awan Mega akan melibatkan pesawat jarak pendek, sederhana dan jauh dengan menawarkan kemudahan membaiki di wilayah Savannakhet.

Jelas beliau, kajian kebolehlaksanaan akan menjadi instrumen terbaik sebagai daya tarikan pelaburan untuk AMAC.

“Struktur besar dan konfigurasi yang dibina ini akan membolehkan AMAC menjadi pengendali MRO di seluruh dunia bagi melaksanakan penyelenggaraan khas kepada pesawat yang sangat kompleks.

“MRO ini juga menyediakan perkhidmatan terkemuka kepada syarikat penerbangan menggunakan bengkel berganda yang lengkap peralatan untuk komposit, enjin, kerangka utama, elektronik, magnetik dan lain-lain.

“Hari ini syarikat-syarikat penerbangan tidak perlu memisahkan destinasi dari armada mereka ke pelbagai MRO untuk setiap jenis penyelenggaraan dan pembaikan serta AMAC MRO ini bakal menjadi  satu pusat MRO yang lengkap untuk semua jenis syarikat penerbangan,” katanya. – MalaysiaGazette