Datuk Siti Nurhaliza bersama model yang memperagakan koleksi baju sempena lebaran yang bakal menjelma pada Majlis Perkenalan Creacion and SimplySiti by Siti Nurhaliza di Melawati Mall Ampang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 13 MEI 2018
Datuk Siti Nurhaliza bersama model yang memperagakan koleksi baju sempena lebaran yang bakal menjelma pada Majlis Perkenalan Creacion and SimplySiti by Siti Nurhaliza di Melawati Mall Ampang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 13 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Kehadiran anak sulung, Siti Aafiyah Khalid jelas menambah rezeki buat Datuk Seri Siti Nurhaliza bukan hanya di pentas seni namun dalam dunia perniagaan.

Ini kerana selepas tamat tempoh berpantang, Siti merasmikan cawangan kelapan butik Creacion & SimplySiti by Siti Nurhaliza di Melawati Mall, baru baru ini.

Wanita berusia 39 tahun itu melahirkan rasa puas hati dengan koleksi raya Creacion & SimplySiti by Siti Nurhaliza 2018.

Jelas belia, tahun ini boleh dikatakan 80 peratus pembabitan dirinya dalam merealisasikan koleksi ini.

“Saya bersyukur dibantu orang kuat Jakel, Datin Farah Haryani. Ketika proses koleksi ini dilakukan, saya ketika itu dalam fasa awal kehamilan. Ada urusan kerja yang saya tak dapat buat termasuk mesyuarat tapi dipermudahkan dengan bantuan pihaknya.

“Pemilihan cawangan kelapan butik saya di Melawati Mall juga dilihat sangat strategik kerana ramai pembeli Melayu. Pihak pusat beli belah itu juga mengutamakan peniaga Melayu untuk memperkembangkan perniagaan mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran butik.

Sesi fotografi bersama Datuk Siti Nurhaliza pada Majlis Perkenalan Creacion and SimplySiti by Siti Nurhaliza di Melawati Mall Ampang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 13 MEI 2018
Sesi fotografi bersama Datuk Siti Nurhaliza pada Majlis Perkenalan Creacion and SimplySiti by Siti Nurhaliza di Melawati Mall Ampang, Selangor. foto IQBAL BASRI, 13 MEI 2018

Siti turut menjawab ura-ura mengenai kerjasamanya dengan pihak Jakel untuk menghasilkan koleksi si kecil menggunakan jenama Aafiyah.

“Hal ini belum ada kata putus lagi. Ia masih dalam perbincangan. Sememangnya kalau ada anak perempuan, golongan ibu juga mahu mereka turut bergaya. Bagi saya tak timbul soal nak eksploitasi anak sendiri. Lagipun baju anak kecil ini cantik dan comel, saya sendiri jadi rambang mata. Tambah pula kalau ada anak perempuan.

“Ini lebih kepada soal perniagaan yang saya usahakan,” katanya.

Sementara itu, Datin Farah Haryani turut memuji kesungguhan Siti dalam merealisasikan jenama pakaiannya.

“Dia sangat komited dengan jenama pakaiannya sendiri. Jenama ini sangat dekat dengan dirinya. Sekalipun ketika proses ini berlangsung waktu awal kehamilannya dulu, dia tetap bersemangat. Kami juga sentiasa mengemas kini segala hal dengan membawa pereka fesyen datang ke rumahnya. Ketika itu Siti akan beri komen dan kritikan.

“Malah menerusi gambar yang dirakamkan pihak saya, Siti pun ada betulkan dan jahit sendiri baju untuk capai kualiti dan kepuasan diingini. Pihak kami hanya membantu serba sedikit, selebihnya Siti sendiri yang berusaha keras,” katanya.

Dengan penambahan cawangan, pihaknya dan Siti juga mengharapkan kenaikan jualan berbanding tahun lalu.

“KIta harap jualan kali ini akan meningkat sekurang-kurangnya 35 peratus dari tahun lalu,” katanya. – MalaysiaGazette