Pep Guardiola

KUALA LUMPUR – Pep Guardiola untuk kekal sebagai pengurus Manchester City sehingga akhir musim 2021.

Sebelum ini bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich itu telah menandatangani kontrak selama tiga tahun di Stadium Etihad pada 2016 dengan perjanjian yang dilanjutkan ke tahun 2019.

Guardiola menamatkan musim pertamanya dalam kancah EPL dengan tangan kosong namun musim ini yang menyaksikan City merangkul Piala Liga Inggeris (EFL) serta memenangi EPL dengan rekod pungutan 100 mata.

Pencapaian itu melonjak saham pengurus berusia 47 tahun itu untuk ditabalkan pilihan Persatuan Pengurus-Pengurus Liga dan Pengurus Terbaik Liga Perdana pada musim ini serta berharap dapat meraih gelaran lebih besar.

“Saya sangat gembira dan teruja. Saya gembira dapat bekerja di sini,” kata Guardiola.

Jika Guardiola menghabiskan kontrak terbarunya itu, ia akan menjadi tempoh paling lama dia berkhidmat dengan sesebuah kelab selepas empat musim bersama Barca dan tiga musim di Bayern.

Selain melakar jurang 19 mata di puncak dan mengutip mata tertinggi dalam sejarah, City juga menaikkan penanda aras EPL dari segi jumlah gol (106), rekod kemenangan berturut-turut (18) dan kemenangan (16).

Guardiola telah memenangi 77 daripada 113 perlawanan membabitkannya bersama City sementara kemenangannya yang dicapai sebanyak 72.4 peratus adalah yang tertinggi dalam sejarah EPL.

Pengerusi City, Khaldoon Al Mubarak berkata pihaknya gembira untuk mengumumkan kontrak Pep dilanjutkan sehingga sampai 2021. – MalaysiaGazette