Pengundi-pengundi di Teluk Intan, Perak meminta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menunaikan janjinya dengan membuka laluan kepada Nga Kor Ming untuk menjadi menteri Persekutuan.
Nga Kor Ming

TELUK INTAN – Pengundi-pengundi di Teluk Intan, Perak meminta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menunaikan janjinya dengan membuka laluan kepada Nga Kor Ming untuk menjadi menteri Persekutuan.

Guan Eng dalam kempen pilihan raya di Teluk Intan pernah memberitahu secara terbuka bahawa Kor Ming akan dicadangkan sebagai menteri jika Pakatan Harapan memenangi kerusi itu yang turut ditandingi Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Sinchew Daily melaporkan, pengundi Teluk Intan telah menyuarakan rasa tidak puas hati termasuk melalui media sosial apabila Kor Ming tidak disenarai dalam barisan Kabinet yang diumumkan.

Walaupun pengumuman Jemaah Menteri dikatakan belum selesai, tetapi penduduk Teluk Intan tetap cemas dan berharap Pakatan Harapan mengotakan janjinya.

Kor Ming ketika dihubungi pula berkata: “Segala terserah kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.”

Sementara itu di Sarawak, di mana tiada wakil dari negeri itu tersenarai dalam Jemaah Menteri setakat ini, Sinchew Daily melaporkan, DAP dan PKR Sarawak berjaya memperjuangkan sekurang-kurangnya dua nama dari Bumi Kenyalang untuk dimasukkan sebagai menteri Persekutuan.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen berkata, pihaknya telah mencadangkan calon menteri dan kini terserah kepada Guan Eng untuk memanjangkannya kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Chieng Jen bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah nama yang dicadangkan tetapi mengesahkan bahawa “terdapat nama orang lain selain nama diri sendiri” apabila ditanya Sinchew Daily.

Dalam pada itu, PKR Sarawak, menurut sumber, telah mencadangkan pemenang kerusi Parlimen Selangau, Baru Bian dan kerusi Parlimen Saratok, Ali Biju untuk dilantik sebagai menteri Persekutuan.