KUALA LUMPUR – Gambar beg-beg tangan Hermes Birkin yang didakwa dirampas oleh polis baru-baru ini bukan milik Datin Seri Rosmah Mansor.

Sebaliknya ia adalah gambar yang diambil di dalam premis Shopfirstluxury di Singapura.

Melalui Instagram, pemilik kedai jenama mewah itu berkata, beliau tidak idea dan tidak tahu bagaimana gambar-gambar beg tangan yang dipamerkan di kedainya telah digunakan secara meluas di Malaysia dan kini tersebar di Indonesia.

“Jangan sebarkan gambar ini lagi. Para pelanggan yang mengunjungi saya di bilik pameran lama tahu di mana gambar ini sebenarnya telah diambil,” katanya yang memaklumkan telah cuba menghubungi beberapa saluran berita tetapi tidak berjawab.

Dalam era maklumat yang pantas, pemilik Shopfirstluxury berharap orang ramai menjadi pembaca berita yang bertanggungjawab dan berfikir dua kali sebelum berkongsi maklumat rakan-rakan.

Beberapa media termasuk Facebook Sarawak Report sebelum ini mendakwa sebanyak 27 beg tangan jenama mewah pelbagai warna yang dianggarkan jutaan ringgit itu milik Rosmah yang dirampas selepas kediaman Najib digeledah polis minggu ini.

Ekoran kenyataan yang dibuat itu, ada pelanggan-pelanggan Shopfirstluxury meminta pemilik kedai itu mengambil tindakan segera.

Malah, gambar-gambar jam tangan Rolex dan mata wang dolar Amerika yang turut didakwa dirampas di kediaman bekas perdana menteri itu juga tidak benar.

Ini kerana, gambar-gambar itu adalah rampasan kes samun di Amerika Syarikat yang berlaku pada tahun 2016.

Gambar itu boleh dilihat melalui pencarian Google. – MalaysiaGazette