Ameer Mydin

KUALA LUMPUR – Semua Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) memberi jaminan akan mematuhi pelaksanaan sifar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berkuatkuasa mulai 1 Jun ini.

Bagaimanapun, ahli majlis MRA, Datuk Amer Mydin meminta pengguna supaya bekerjasama dan bersabar ketika membeli-belah pada tarikh pelaksanaan tanpa GST itu memandangkan tidak semua peruncit sempat  melakukan perubahan tanda harga pada barangan yang dijual.

Ini kerana, katanya, peruncit-peruncit hanya mempunyai sekurang-kurangnya selama lapan jam iaitu bermula pada tengah malam 31 Mei sehingga pukul 8 pagi 1 Jun untuk melakukan perubahan tanda harga pada semua barangan yang dijual.

“Mungkin tidak semua peniaga sempat melakukan perubahan pada semua barang-barangan yang dijual dalam tempoh masa yang singkat. Di pasar raya sahaja lebih 100,000 jenis barangan yang dijual.

“Tetapi, kami akan memastikan sistem mesin di kaunter-kaunter juruwang sudah bersedia untuk mematahui pelaksanaan sifar GST.

“Oleh itu, saya meminta semua pengguna bersabar, jangan marah-marah jika ternampak tanda harga pada barang yang dijual tidak berubah. Rujuklah pada mesin harga atau berjumpalah khidmat pelanggan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Bagi memberi kemudahan kepada pengguna Amer berkata, pengguna juga boleh membuat kiraan sendiri bagi barang-barangan yang dibeli.

Kiraan itu adalah harga barang didarabkan dengan 6 peratus GST dan dibahagikan dengan 1.06. Pengguna akan mendapat harga asal (tanpa GST).

“Contohnya harga baju berharga RM10 dan GST sebanyak 6 peratus (0.60) adalah RM10.60. Angka itu (RM10.60) kemudian dibahagikan dengan 1.06. Anda akan mendapat RM10 (harga asal barang tanpa GST).

“Jangan pula ada pelanggan yang tolak  RM10 dengan kadar GST 6 peratus. Itu salah,” jelasnya.

Ameer berkata, langkah Kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan sifar GST pada waktu yang singkat selepas mengambil alih pemerintahan adalah tepat bagi mengelakkan pengguna menunggu masa yang panjang untuk berbelanja.

Katanya, GST telah menjana pendapatan negara sebanyak RM42 bilion setahun atau RM3.5 bilion sebulan.

Jadi, apabila GST dimansuhkan, pengguna Malaysia mempunyai lebihan RM3.5 bilion untuk dibelanjakan bagi merangsang ekonomi.

“Pada pandangan saya, langkah ini akan memberi sentimen positif kepada keyakinan pengguna untuk berbelanja, sekali gus merangsang perbelanjaan pengguna.

“Apabila bisnes runcit rancak, peniaga akan mendapat keuntungan lebih tinggi yang kemudiannya akan dipulangkan kepada kerajaan dalam bentuk cukai,” katanya.

Ameer percaya pelaksanaan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan diumumkan selewat-lewatnnya Ogos ini tidak akan membebankan pengguna. – MalaysiaGazette