Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh

MELAKA – Semua wakill rakyat Barisan Nasional (BN) Melaka terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sekaligus menepis dakwaan wujud ‘isu dalaman’ yang menggugat kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri.

Pengerusinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, dakwaan itu hanyalah mainan pihak tertentu yang cemburu melihat kejayaan BN selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) November tahun lalu.

Menurutnya, sebahagian besar daripada 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN itu tidak pernah berada dalam keadaan tidak sehaluan dengan kepimpinan Sulaiman.

“Malah, kami terutamanya 10 orang ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sedang merancang sebaik mungkin untuk majukan Melaka di bawah kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ketua Menteri.

“Soal isu dalaman ini tak timbul, yang sering di uar-uarkan dalam media sosial sama ada secara langsung atau tidak mungkin kerana rasa cemburu atas kejayaan kami dapat menambat hati rakyat pada PRU (PRN) lepas,” katanya.

Ab Rauf berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Kerk Chee Yee (DAP-Ayer Keroh) pada Persidangan Ketiga, Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri, di sini, hari ini.

Dalam soalan tambahannya, Kerk meminta Ab Rauf menyatakan cabaran dari aspek faktor dalaman yang boleh ditambah baik untuk menarik keyakinan pelabur asing ke Melaka termasuk ketidakstabilan kedudukan Ketua Menteri dan sebagainya.

Menjawab soalan itu, Ab Rauf (BN-Tanjung Bidara) yang juga merupakan Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan Usahawan negeri berkata, BN memberi sokongan terbaik kepada Sulaiman untuk merealilasikan dasar yang telah dibuat untuk memberi faedah kepada rakyat.

“Itu sebabnya saya tak melihat isu dalaman ini adalah satu isu yang besar dan teramat dalam. Ia tak dalam pun, cuma yang melihat dalam ini ialah mereka-mereka yang tidak suka akan apa yang telah kita perolehi selepas PRU (PRN) lalu.

“Saya ingin tegaskan, prestasi kerajaan yang ada hari ini dengan kemasukan nilai pelaburan sebanyak RM2.2 bilion dalam masa masa empat bulan menunjukkan keyakinan pelabur untuk datang ke Melaka disebabkan kestabilan yang dibawa oleh Ketua Menteri,” katanya. – MalaysiaGazette