Mohamed Azmin
Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM – Amat sukar bagi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meninggalkan rakyat negeri itu selepas menerima perkenan daripada Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memegang jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Bagaimanapun, katanya, beliau sedar mempunyai tanggungjawab lebih besar terhadap negara dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

“Ini adalah panggilan tanah air. Justeru, saya mempunyai tanggungjawab moral untuk memberikan khidmat dan bakti kepada bangsa dan negara,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Sultan Selangor menerusi Setiausaha Sulitnya, Datuk Mohamad Munir Bani, memberi perkenan dengan keputusan Mohamed Azmin untuk menerima jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, yang memerlukan beliau bersama kerjaaan persekutuan.

Baginda turut perkenan Ahli Parlimen Sri Gombak itu kekal memegang jawatan Menteri Besar Selangor untuk sementara waktu sehingga tempoh peralihan kuasa kepada menteri besar yang baharu dijalankan dengan lancar dan teratur.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR menzahirkan rasa terima kasih di atas titah nasihat dan pedoman yang diberikan oleh Tuanku sepanjang beliau mengemudi pentadbiran kerajaan negeri.

“Dengan rasa penuh tawaduk, saya menjunjung kasih di atas limpah perkenan Duli Yang Maha Mulis Sultan Selangor untuk saya memainkan peranan yang lebih besar di peringkat kerajaan persekutuan.

“Perkenan Tuanku ini adalah atas penjelasan dan pengesahan daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai skop kerja dan bidang kuasa kementerian yang baharu,” katanya.

Katanya, beliau menerima amanah dan tanggungjawab itu dengan kesedaran untuk melaksanakan reformasi ekonomi demi menyelamatkan negara daripada krisis akibat kecelaruan dasar pentadbiran sebelum ini.

Menurut Mohamed Azmin, dalam pertemuannya dengan Dr Mahathir Sabtu lalu, Perdana Menteri telah memperincikan skop, fungsi dan tanggungjawab Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Saya turut menzahirkan  beberapa pandangan agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat membentuk sebuah kerajaan yang tampan, cekap dan berkesan.

“Sebagai memenuhi aspirasi rakyat, saya komited kepada usaha membangun sebuah ekonomi yang kuat dan rancak, mencipta nilai, menjana peluang pekerjaan serta meningkatkan Pelaburan Langsung Asing (FDI).

“Saya ingin memberi jaminan kepada pelabur domestik dan asing bahawa kerajaan yang baharu ini adalah mesra perniagaan dan mesra pelabur dengan berpegang kepada prinsip ketelusan serta kebertanggungjawaban,” katanya.

Beliau yang akan meletakkan jawatan Menteri Besar Selangor dalam tempoh terdekat ini berkata, menjadi iltizamnya untuk memacu daya saing ekonomi negara demi meletakkan kembali Malaysia pada kedudukan utama dalam kepimpinan ekonomi rantau ini.

Ujarnya, beliau juga bertekad untuk memastikan keadilan sosial terlaksana, yang mana kekayaan negara akan diagihkan secara adil dan saksama. – MalaysiaGazette