Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berkata, kenaikan harga minyak dunia daripada AS$52 kepada AS$71 setong yang didorong oleh keadaan di Korea Utara dan Iran merupakan sesuatu yang menguntungkan Malaysia.

KUALA LUMPUR – Malaysia dilihat “amat bernasib baik” apabila kenaikan harga minyak dunia mewujudkan penampan yang mengurangkan impak penghapusan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin berkata, kenaikan harga minyak dunia daripada AS$52 kepada AS$71 setong  yang didorong oleh keadaan di Korea Utara dan Iran merupakan sesuatu yang menguntungkan Malaysia.

Beliau memberitahu Nanyang Siang Pau, kerajaan Pakatan Harapan perlu memanfaatkan sepenuhnya peningkatan hasil daripada minyak dan bukannya berbelanja secara memboros.

Daim sebelum ini pernah menyatakan keyakinan bahawa GST boleh dihapuskan dalam tempoh 100 hari.

Ditanya mengenai penghapusan tol, Daim berkata, semua perkara ada jalan penyelesaiannya, tetapi perlu memberi sedikit masa kepada kerajaan.

“Ramai orang berpendapat kerajaan tidak mungkin dapat menghapuskan GST, tetapi kerajaan Pakatan Harapan telah berjaya melakukannya dan rakyat juga berasa gembira,” katanya.

Mengenai UMNO, Daim berkata, parti itu mempunyai pemimpin pintar seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed, Khairy Jamaluddin dan Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Malangnya, Daim berkata, pemimpin UMNO mementingkan jawatan berbanding mendengar suara rakyat.

“Saya berharap Pakatan Harapan akan menerima iktibar dan sedar bahawa rakyat ialah penentu.

“Jika janji sudah dibuat, maka ia harus dikotakan,” katanya.

Ditanya mengenai Lim Guan Eng yang dibelenggu kes mahkamah sehingga pelantikannya sebagai Menteri Kewangan mencetus pertikaian, Daim berkata, Guan Eng boleh memohon cuti (leave of absence) sehingga kes mahkamahnya dimuktamadkan.

Katanya, semasa tempoh cuti itu, jawatan Menteri Kewangan boleh dipangku orang lain.

“Saya tidak tahu pilihan Guan Eng dan hanya beliau yang boleh membuat keputusan,” katanya. – MalaysiaGazette