BANGKOK – Pengurus pasukan Piala Thomas Malaysia Datuk Ng Chin Chai berpuas hati dengan persembahan anak buahnya yang berjaya membenam Rusia 5-0 dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala Thomas hari ini.

Menurutnya, pasukan badminton negara telah membariskan pemain-pemain terkuatnya untuk memastikan Malaysia berjaya mengutip mata penuh dalam perlawanan yang berlangsung di Impact Arena.

“Kita menampilkan barisan terkuat kerana kita mahukan mata penuh dan tidak mahu sebarang kejutan daripada perlawanan dengan Rusia,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan antara Malaysia dan Russia, hari ini.

Kata beliau, pemain muda seperti perseorangan kedua negara Lee Ji Zia dan pemain beregu kedua kebangsaan, Aaron Chia telah beraksi dengan baik dan menyumbang mata penting kepada pasukan negara.

Chin Chai turut memuji aksi yang ditonjolkan oleh pasangan beregu utama negara Goh V Shem dan Tan Wee Kiong yang berjaya menewaskan bekas juara beregu Kejohanan All England pada 2016 Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov.-BERNAMA