Pablo Rangel.
Pablo Rangel.

KUALA LUMPUR – Bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) musim 2015, Paulo Rangel tiba di Alor Setar, Kedah semalam.

Penyerang kelahiran Brazil berusia 33 tahun itu dilaporkan bakal mengadakan perbincangan akhir mengenai kontraknya bersama skuad Lang Merah.

“Paulo Rangel tiba di Alor Setar dan sempat meluangkan masa menyaksikan skuad Hijau Kuning berlatih di Stadium Mini MBAS Peremba.

“Kehadirannya tidak lain tidak bukan adalah untuk memperhalusi kontrak bersama pasukan.

 “Setakat ini masih dalam peringkat akhir perbincangan terma kontrak tertakluk kepada pelepasan secepat mungkin oleh kelab lamanya, Nakhon Ratchasima FC,” jelas satu kenyataan di Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Nama Rangel menjadi sebutan peminat dan pilihan pengurusan bagi memperkuatkan jentera serangan selepas kehadiran Pablo Pallares gagal mencapai sasaran pihak pengurusan.

“Dengan lima perlawanan bakal diharungi sepanjang bulan Ramadan ini, usaha ini adalah tugas utama untuk menyuntik dimensi baru formasi serangan skuad hijau kuning.”

Untuk rekod, nama Rangel bukan asing lagi dalam Liga Malaysia apabila dia pernah menyarung jersi Perak secara pinjaman pada 2013.

Dia juga merupakan bekas pemain Selangor (2013-2014), Terengganu (2014-2015), JDT (2015), JST II (2016) sebelum berpindah ke kelab Brazil, Londrina (2017) dan terkini bersama kelab Nakhon Ratchasima. – MalaysiaGazette