Tiga nama ini mendapat 'undi' popular sebagai calon Presiden UMNO.
Tiga nama ini mendapat 'undi' popular sebagai calon Presiden UMNO.

SHAH ALAM – Nama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah paling popular sebagai calon Presiden UMNO.

Nama mantan Menteri Kewangan itu dipilih netizen menerusi satu bancian secara rambang yang dibuka oleh seorang Ketua UMNO Bahagian di Selangor menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Turut dipilih bagi mengetuai jawatan nombor satu parti terbesar Melayu itu ialah Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Tindakan Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari memuatnaik status berkenaan bertujuan untuk mendengar pendapat orang ramai mengenai siapa yang layak menerajui pucuk kepimpinan tertinggi parti.

Rata-rata netizen menyifatkan tindakan itu baik, kerana sekurang-kurangnya rakyat diberi peluang untuk memilih pemimpin yang mereka suka, walaupun melalui undi tidak rasmi.

Manakala calon popular untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO mengikut pilihan netizen pula ialah Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin; Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed; dan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Nama lain seperti Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir; Ahli Parlimen Padang terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid; dan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad sebagai calon Naib Presiden.

Agak menarik apabila Azhari turut membuka bancian itu kepada semua kaum termasuk Cina dan India dengan harapan untuk mendapatkan maklum balas berhubung siapa yang rakyat Malaysia mahukan.

Menurut Azhari, beliau berbuat demikian kerana mahu mendengar sendiri pendapat rakyat, baik dari ahli UMNO mahupun bukan ahli UMNO.

Katanya, penyokong Pakatan Harapan (PH), India mahupun Cina juga boleh menyatakan pilihan masing-masing siapakah yang layak menerajui pucuk kepimpinan tertinggi UMNO bagi mendapat nafas baru untuk menambah baik parti pada masa akan datang.

Jawatan Presiden UMNO kini kosong berikutan peletakan jawatan oleh penyandangnya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 12 Mei lalu, iaitu tiga hari selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) menerima kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dengan peletakan jawatan itu, Biro Politik UMNO bersetuju Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjalakan tugas sebagai presiden parti. – MalaysiaGazette