KUALA LUMPUR – Raja-raja Melayu telah memberikan perhatian yang berat berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Merujuk kepada kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull pada satu sidang media khas hari ini, Syed Danial berkata susulan itu, Raja-raja telah menitahkan satu kenyataan pada 6 Oktober 2015 berhubung isu itu.

“Sebenarnya, atas titah Duli Yang Maha Mulia Raja-raja, saya telah mengundang Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Timbalan serta pegawai kanan beliau menghadap baginda sekalian bagi menyembahkan taklimat yang berkaitan.

“Dalam ruang lingkup peranan dan kuasa Raja-raja berlandaskan Perlembagaan, Raja-raja telah menitahkan untuk satu kenyataan, yang menunjukkan bahawa Duli-duli Yang Maha Mulia memberikan perhatian yang berat, dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja (pada 6 Okt 2015),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Danial turut melampirkan kenyataan tersebut yang antara lain menyatakan Raja-raja Melayu maklum bahawa kerajaan sedang melakukan siasatan dan menegaskan perlunya pihak kerajaan menyelesaikan secepat mungkin penyiasatan yang sedang berjalan itu.- BERNAMA