Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tengah) mengadakan pertemuan pertama dengan pengurusan Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Pejabat Menteri Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 22 MEI 2018.

PUTRAJAYA – Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan memastikan tiada lagi pemberian projek secara rundingan terus kepada syarikat-syarikat tertentu dalam semua perolehan kerajaan di bawah Pakatan Harapan (PH).

Menteri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perolehan secara rundingan terus yang diamalkan oleh pentadbiran terdahulu akan dimansuhkan serta-merta dan digantikan dengan tender terbuka yang telus.

“Tiada lagi rundingan terus dan ia mesti terbuka, sangat telus dalam semua proses perolehan kerajaan.

“Kita kena potong perbelanjaan kerajaan mengikut keperluan semasa dan memastikan proses perolehan itu mesti dibuat secara terbuka,” katanya pada sidang media selepas memulakan tugas baharu di Kompleks B Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Terdahulu Mohamed Azmin diberi taklimat mengenai Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) oleh Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Datuk Nik Azman Abdul Majid di sini.

Azmin yang memulakan tugas pertama sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi mengetip kad perakam masa seawal jam 7.45 pagi tadi.

Mohamed Azmin berkata, sebagai langkah perjimatan perbelanjaan kerajaan, beliau perlu menyemak semula keperluan projek-projek yang diluluskan oleh pentadbiran terdahulu.

“Sebab itu beberapa projek yang telah pun dipersetujui sebelum ini termasuk yang mendapat Surat Setuju Terima (SST) saya akan meneliti dengan EPU tentang keperluan projek-projek berkenaan.

“Kita akan lihat semua projek mega di mana diluluskan oleh pentadbiran terdahulu, kena buat lawatan semula, kita kena buat rundingan semula berkenaan syarat.

“Kalau ia belum dilaksanakan dan kita akan tumpu hanya projek-projek yang akan memberikan kesan langsung kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengarahkan beliau untuk memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur asas khusus di negeri-negeri yang jauh ketinggalan dan daif.

“Ini soal infrastruktur asas di kampung seperti belakan elektrik, bekalan air yang perlu diberikan perhatian segera.

“Pembangunan ini bukan tumpu di beberapa negeri tetapi seperti yang diarahkan oleh Perdana Menteri, kita nak buat perancangan komprehensif dari segi bekalan air di Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu dan pantai timur,” katanya.

Ditanya tentang projek rangkaian jalan keretapi pantai timur (ECRL) dan Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), Mohamed Azmin berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan namun beliau akan meneliti semula projek berkenaan terlebih dahulu.

“Kita kena lihat apa yang berlaku, proses yang diambil oleh pentadbiran terdahulu dan kita kena memastikan semua proses itu mesti telus, dan terbuka

“Biar saya duduk dengan agensi berkaitan sebelum kita ambil tindakan seterusnya.

“Kita kena tengok balik dan buat rundingan semula syarat-syarat projek berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette