Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama ahli Majlis Tertinggi Umno bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 22 MEI 2018.
Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bersama ahli Majlis Tertinggi Umno bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 22 MEI 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Shukri Abdull yang mengatakan ada berjumpa dengan menteri Kabinet berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata ia ‘di luar maklumat’ berhubung dakwaan Shukri yang mengatakan beliau ada berjumpa dan mendesak beberapa menteri untuk mengambil tindakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Ia diluar maklumat saya. Tidak ada (pertemuan),” kata beliau semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.

Awal hari ini, Shukri dalam sidang media mendakwa beliau dan bekas ketuanya Tan Sri Abu Kassim Mohamed telah berjumpa dengan beberapa menteri sebelum ini bagi menyakinkan mereka untuk mengambil tindakan terhadap Najib.

Beliau berkata, langkah itu susulan hasil siasatan SPRM pada 2015 berhubung isu dana RM2.6 bilion dan RM42 juta yang dipercayai dipindahkan daripada SRC International Sdn Bhd ke dalam akaun bank peribadi Najib yang ketika itu adalah perdana menteri.

Bagaimanapun, katanya, hanya tiga menteri ketika itu yang berani bersuara mengenainya iaitu bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan kedua Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah. – MalaysiaGazette