Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng keluar dari pejabatnya selepas bercakap kepada media mengenai pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 23 MEI 2018.
Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng keluar dari pejabatnya selepas bercakap kepada media mengenai pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy di Kementerian Kewangan, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 23 MEI 2018.

PUTRAJAYA – Kementerian Kewangan mengarahkan Arul Kanda Kandasamy menulis surat kepada kerajaan Persekutuan untuk memaklumkan sama ada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mampu membayar hutangnya ataupun tidak.

Menterinya, Lim Guan Eng berkata, arahan itu telah dikeluarkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu semasa pertemuan petang ini di Kementerian Kewangannya.

Katanya, beliau telah memanggil peneraju 1MDB kerana sebagai menteri, beliau perlu menandatangani surat kebenaran membayar hutang syarikat itu berjumlah RM143 juta pada akhir bulan ini.

“Saya terkejut dokumen pertama saya perlu menandatanganinya (sebagai menteri kewangan) ialah untuk membayar hutang 1MDB, namun saya enggan untuk tandatanganinya kecuali saya terlebih dahulu meneliti semua dokumen berkaitan.

“Syarat pertama yang telah diarahkan ialah telah meminta 1MDB mesti menulis surat kepada kerajaan persekutuan untuk menyatakan sama ada mereka mampu menjelaskan hutang itu atau tidak.

“Kalau mereka tidak boleh membayar, kerajaan persekutuan perlulah menjelaskan hutang itu segera, kita tidak ada pilihan lain,” katanya kepada pemberita di lobi Kementerian Kewangan petang tadi.

 

Ditanya sama ada 1MDB sudah memindahkan aset syarikat kepada kementerian, Guan Eng menjelaskan, kesemua aset itu pada asalnya kepunyaaan Kementerian Kewangan.

“MOF pindah aset kepada 1MDB pada harga sangat rendah sebelum ia dipindah semula, maka apa bezanya, ini macam dari tangan kiri pergi ke tangan kanan seperti satu permainan mengaburkan mata rakyat tentang wang begitu besar itu yang dirompak.

“Ini satu malapetaka kerana bayangkanlah sekiranya wang RM7 bilion yang telah dibayar sebelum ini digunakan untuk rakyat, sudah pasti ramai yang bermanfaat tetapi ini semua disebabkan oleh satu syarikat 1MDB, ” ujar beliau.

Justeru kata beliau, Arul Kanda yang dipanggil untuk menjelaskan kedudukan syarikat itu bagaimanapun tidak menunjukkan kekesalan mengenai hutang yang ditanggung syarikat itu.

“Sebab itu panggil dia. Arul Kanda datang tetapi saya tengok sikap dia macam dia tidak ada perasaan bersalah kerana paksa kerajaan Malaysia bayar hutang RM7 bilion untuk 1MDB, dan ini semua rakyat tidak tahu.

“Hanya sekarang bila ada pertukaran kerajaan baru rakyat tahu dan kita dedahkan ini kerana rakyat berhak tahu keadaan sebenarnya dan apa yang Tun Mahathir sebut adalah benar, rompakan terbesar di dunia.

“Saya bagi arahan kepada Arul Kanda kerana kita kena buat bayaran sebelum 30 Mei ini, tentulah sebagai prosedur dia harus maklumkan kerajaan persekutuan bahawa 1MDB tak ada wang untuk dijelaskan tetapi kami sedia maklum memang 1MDB tidak mempunyai wang pun,” kata beliau. – MalaysiaGazette