Prof Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Meskipun menghormati keputusan Perdana Menteri untuk membubarkan Majlis Profesor Negara (MPN), badan itu mahu Tun Dr Mahathir Mohamad memberi pertimbangan semula.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose yang mengakui terkejut dengan keputusan perdana menteri itu berkata, badan itu merupakan sumber berguna dalam membantu negara merentasi pelbagai isu-isu domestik.

Jelasnya, MPN tidak terlibat dalam mana-mana agenda politik walaupun tidak menafikan ada dalam kalangan profesor negara yang cenderung ke arah itu.

Bagaimanapun, perkara itu lebih bersifat peribadi dan tidak mewakili MPN.

“Kita berharap Kerajaan Pakatan Harapan berjiwa besar dalam melihat potensi apa yang boleh dilaksanakan oleh MPN dalam bersama-sama membangunkan negara,” katanya yang berada di Mekah ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Malah, Raduan mencadangkan supaya MPN diletakkan di bawah Kementerian Pengajian Tinggi, sesuai dengan kedudukan dan peranannya.

Setakat ini, seramai 3,000 orang profesor menyertai MPN.

Prof Dr. Teo Kok Seong

Sementara itu, Prof Dr. Teo Kok Seong pula menyifatkan malang sekali jika MPN dibubarkan kerana peranan badan itu cukup besar kepada pembentukan negara.

Ini kerana penubuhan majlis itu membabitkan penggemblengan tenaga serta modal yang besar dan rugi jika ia dibubarkan dengan alasan politik.

“Saya akui memang ada segelintir anggota MPN cukup teruja dalam politik terutama ketika berhujah di stesen televisyen semasa pilihan raya umum yang lalu sehingga terlupa kedudukan masing-masing.

“Akibatnya, disebabkan nila setitik, rosak susu sebelangga. Sepatutnya cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.

“Tetapi janganlah disebabkan sebahagian ranting yang rosak, pokok pula ditebang. Janganlah tergesa-gesa,” katanya.

Namun, beliau percaya, Dr Mahathir seorang yang rasional dan sedia memberi pertimbangan berhubung keputusan untuk membubarkan MPN. – MalaysiaGazette