Datuk Sivarraajh Chandran
Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran (dua kiri) bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Pemuda MIC di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKZUAIREY SALIM, 23 MEI 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa memberi layanan yang adil kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sepanjang tempoh siasatan.

Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarrajh Chandran berkata, pihak berkuasa itu berhak untuk menyiasat Najib jika wujudnya salah laku rasuah dan penyelewengan sepanjang pentadbirannya termasuk dalam skandal 1MDB.

“Siasatan itu adalah hak kerajaan, kalau mereka merasakan ada perkara yang prasangka dan syak, itu menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membuat siasatan.

“Saya juga memohon kepada agensi tersebut (SPRM) layanlah bekas pemimpin tersebut secara adil,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda MIC di ibu pejabat MIC, di sini, hari ini.

Sivarrajh juga menyeru menyeru netizen supaya tidak memainkan isu 1MDB dengan agresif hingga memalu dan mengheret ahli keluarga Najib dalam laman media sosial.

“Baru-baru ini, gambar beg dan duit (tunai) itu bukan kepunyaan beliau tapi telah dimainkan dalam media sosial.

“Banyak kata-kata kesat dikeluarkan terhadap beliau dan keluarga dalam media sosial.

“Jangan kita mempersendakan, menghina sampai keluarga beliau pun diheret. Saya tengok masih ada lagi netizen mengeluarkan kata-kata kesat dan serangan peribadi,” katanya.

Katanya, Najib sudah dihukum rakyat dalam PRU14 dan kini semua pihak perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dakwaan salah laku rasuah dan skandal 1MDB.

“Kita bagi masa kepada agensi-agensi dan kerajaan hari ini (PH) untuk menjalankan siasatan sama ada wujud kesilapan atau peranan yang dibuat oleh bekas pemimpin.

“Saya rasa beliau sudah dapat hukuman, dalam PRU14 rakyat telah menghukum pimpim tersebut dan BN tapi jangan kita buat lebih daripada itu.

“Biar mereka (SPRM) menyiasat dan membawa beliau ke muka pengadilan,” katanya lagi. MalaysiaGazette