KUALA LUMPUR – MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM), syarikat pengeluar gula
terkemuka negara merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM15.81 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2018 berbanding kerugian bersih sebanyak RM34.62 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Prestasi yang bertambah baik pada suku semasa dipacu oleh kos bahan mentah yang lebih rendah dan kadar pertukaran mata wang asing yang menggalakkan.

Selain itu, pengurangan perbelanjaan pentadbiran turut merangsang prestasi MSM, penurunan sebanyak 33.0 peratus dari suku ke suku atau RM9.1 juta daripada RM23.8 juta.

Hasil berkurangan sebanyak 15.4 peratus berbanding dengan suku yang sama pada tahun lepas sebanyak RM648.97 juta, terjejas akibat penurunan dalam harga jualan purata dan pengurangan 7.0 peratus dalam keseluruhan jualan yang dijual – terutamanya pengurangan bagi jualan eksport.

Datuk Khairil Anuar Aziz

“Walaupun keadaan tidak begitu baik pada tahun 2017, prestasi suku tahun pertama ini menunjukkan tanda-tanda yang menggalakkan ke arah kunci kira-kira yang baik.

“Ia merupakan proses pemulihan berterusan dan pada catatan positif ini, arah MSM teguh bagi mengukuhkan peranan kepimpinan dalam perniagaan ini,” kata Pengarah Eksekutif MSM, Datuk Khairil Anuar Aziz.

MSM terus mengukuhkan fokus operasi dengan merendahkan kos gula mentah sebanyak 23.1 peratus berbanding suku pertama tahun lalu.

Walau bagaimanapun, ia terhalang oleh kenaikan kos penapisan purata disebabkan kos bahan bakar yang lebih tinggi terhasil daripada kenaikan tarif gas pada bulan Januari sebanyak 16.0 peratus.

Tambahnya, kilang penapisan di Johor yang dijadualkan beroperasi pada separuh tahun pertama 2018 akan terus menjadi perbelanjaan yang berhemat mengikut bajet dan selaras dengan garis masa yang ditetapkan.

Pertumbuhan kapasiti difokuskan untuk menghasilkan margin dan pendapatan yang lebih baik melalui peningkatan jualan eksport, terutamanya di pasaran Asia Tenggara (SEA) dan Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).

Bergerak secara positif pada 2018, MSM mahu meningkatkan kecekapan pengurusan inventori, pembekalan dan pengedaran serta mengoptimumkan pengurusan perbelanjaan untuk terus berdaya tahan bagi suku selebihnya dalam perniagaan masa hadapan. – MalaysiaGazette