Datuk Sivarraajh Chandran
Datuk Sivarraajh Chandran

KUALA LUMPUR – Pemuda MIC hari ini mengakui kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu salah satunya berpunca daripada imej buruk Datuk Seri Najib Tun Razak yang terpalit dengan skandal 1MDB.

Ketuanya, Datuk Sivarraajh Chandran berkata, sekiranya bekas Perdana Menteri berundur lebih awal daripada BN, beliau yakin parti itu mampu meriah kemenangan dua pertiga dan mengekalkan Kerajaan Persekutuan pada hari ini.

“Pada pandangan peribadi saya (Najib) mungkin merupakan salah satu faktor (kekalahan BN) ialah imej beliau.(Najib).

“Beliau mempunyai imej tersebut disebabkan propaganda yang dilakukan oleh Pakatan Harapan masa itu tanpa mengetahui sama ada Najib buat salah guna itu atau tidak.

“Tapi saya rasa memang satu faktor yang telah menyebabkan kita tumbang hari ini merupakan imej beliau ada masa itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MIC, di sini, hari ini.

Tan Sri S. A. Vigneswaran
Naib Presiden MIC, Tan Sri S. A. Vigneswaran bersama Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pemuda MIC di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKZUAIREY SALIM, 23 MEI 2018

Hadir sama Naib Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran yang juga selaku Speaker Dewan Negara.

Sivarraajh juga berkata, kekalahan besar BN dalam PRU14 pada 9 Mei lalu tidak boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada bekas Pengerusi BN itu semata-mata.

Katanya lagi, sebaliknya semua pimpinan BN patut dipersalahkan kerana mereka tidak menegur kelemahan itu lebih awal sebelum PRU14.

“Saya tak ingin salahkan beliau 100 peratus kerana kita pun bertanggungjawab pada masa itu, kita pun tak buka mulut, pemimpin-pemimpin BN pun tak buka mulut,” katanya lagi. MalaysiaGazette