Timbalan Presidennya, Datuk Sirajudin Salleh berkata, sungguh pun kerajaan bertukar kepimpinan, tetapi Malaysia adalah negara sama yang masih kekal dengan perlembagaannya.
Timbalan Presidennya, Datuk Sirajudin Salleh berkata, sungguh pun kerajaan bertukar kepimpinan, tetapi Malaysia adalah negara sama yang masih kekal dengan perlembagaannya.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak mencabuli perpaduan nasional yang sedia terjalin, walaupun negara diperintah oleh kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presidennya, Datuk Sirajudin Salleh berkata, sungguh pun kerajaan bertukar kepimpinan, tetapi Malaysia adalah negara sama yang masih kekal dengan perlembagaannya.

“Demi perpaduan nasional dan kelangsungan negara yang aman damai, Perkasa ingin  mengingatkan pemimpin bukan bumiputera ini supaya sedar Malaysia adalah negara yang sama, cuma kerajaannya sahaja yang baharu,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Beliau turut memberi amaran kepada Ahli Parlimen Miri, Dr. Michael Teo Yu Keng dari parti PKR yang bercadang hendak mengemukakan usul pemansuhan agama iaitu Islam dari kad pengenalan.

“Kenapa nak ganggu orang Islam? Label Islam di kad pengenalan hanya untuk mengenali orang Islam.

“Kita beri amaran kepada individu atau organisasi bukan Islam supaya jangan mengganggu status Islam bagi orang Islam di kad pengenalan,” tegas beliau.

Beliau turut menyindir golongan yang menyokong kumpulan Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender ( LGBT) kerana nampak begitu seronok dan gembira dengan kemenangan kerajaan baharu selepas PRU14 baru-baru ini, seolah ada individu dalam kerajaan yang bersimpati dan menyokong mereka.

Bagaimanapun, kata Sirajudin, adalah sangat malang dan memalukan jika kerajaan baharu mengiktiraf kewujudan kumpulan itu seterusnya menyokong aktiviti berkenaan tanpa menyekatnya.

“Perkara dengan tegas tidak akan merestui kumpulan ini kerana sudah LGBT adalah kumpulan manusia songsang yang akan memporakperandakan hidup berkeluarga dan bermasyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette